Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebanyak 380 geran tanah diserahkan kepada penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan sekali gus menoktahkan penantian lebih 40 tahun penduduk di kawasan itu.

Justeru, kerajaan negeri Sabah akan meneruskan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) bagi menyelesaikan kerja-kerja pengukuran tanah adat negeri (NCR) Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata program PANTAS yang dimulakan pada 2011 berjaya menyelesaikan masalah kelewatan penyukatan tanah dan pemberian geran kepada ribuan penduduk Sabah.

“Kerajaan negeri akan meneruskan Program PANTAS dan telah meminta Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur supaya Program ini diteruskan di seluruh Sabah.

“Mana-mana rakyat menunggu lama yang belum dapat geran tanah kita mesti ukur untuk pastikan rakyat mendapat hak mereka,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran Tanah Anak Negeri dan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya bagi kawasan DUN Pintasan semalam.

Dalam pada itu, ADUN Pintasan, Datuk Fairuz Renddan berkata, pemberian geran tanah itu ditunaikan kerana tidak mahu ia hanya mulut manis dalam kalangan pemimpin politik setiap kali menjelang pilihan raya.

“Isu-isu tanah ini hanya akan timbul bila mana dekat-dekat pilihan raya, tapi kali ini waktu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kita buat perkara lain daripada yang lain.

“Walaupun mengambil masa yang begitu panjang hampir 3 tahun tapi hari ini bukan gula-gula politik bukan gimik semata-mata buktinya kita serahkan geran yang betul kepada mereka,” katanya.

“Alhamdulillah hari ini hari bersejarah yang mana penantian lebih daripada 10 tahun untuk mendapatkan geran tanah telah direalisasikan oleh kerajaan yang ada sekarang dan saya amat-amat berterima kasih,” kata Arib Jikal salah seorang penerima geran tanah.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih bukan sahaja kepada kerajaan negeri tapi kepada pemimpin masyarakat di peringkat kampung, terima kasih ketua kampung, ADUN di kawasan saya iaitu kawasan Tampasuk yang sama-sama berusaha untuk mendapatkan geran ini supaya dapat dikeluarkan dengan kadar segera,” kata Mohd Kassim Mustafah.-Berita RTM