Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Masalah banjir kilat yang membelenggu 150 keluarga di beberapa kampung di Sungai Bakap, di sini, akan diatasi menerusi projek mitigasi yang dirancang kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata pihaknya dimaklumkan banjir berlaku pada setiap tiga kali setahun dengan kali terakhir adalah pada November lalu.

Susulan itu, katanya, langkah jangka pendek dan panjang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu daripada berlarutan.

“Bagi langkah jangka pendek, tiga projek pembangunan dan mitigasi akan dilaksanakan hujung bulan ini dengan peruntukan RM600,000.

“Tiga projek ini di bawah peruntukan Caruman Saliran Negeri yang ia akan disalurkan kepada agensi pelaksana iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk pelaksanaan,” katanya kepada pemberita berhubung projek mitigasi banjir itu di luar sebuah pasar raya di Jawi, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abd Hamid dan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, selain itu antara projek mitigasi jangka pendek yang akan dilaksanakan ialah menaik taraf tebing Sungai Baong dan kerja-kerja berkaitan di Kampung Changkat Dain.

Katanya, Kampung Changkat Dain dan kawasan sekitarnya sering dilanda banjir dengan kekerapan dua hingga tiga kali setahun akibat limpahan air Sungai Baong yang tidak dapat mengalir ke Sungai Jawi.

“Keadaan tebing sungai sedia ada yang terhakis dikhuatiri boleh menyebabkan runtuhan tebing, terutama ketika paras air sungai tinggi dan aliran sungai laju ketika hujan lebat,” katanya.

Sementara itu , Zairil berkata, Kerajaan Persekutuan pula memperuntukkan RM246 juta bagi menjalankan dua projek mitigasi banjir jangka panjang iaitu Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Jawi dan Projek Tebatan Banjir Sungai Kechil.

“Kedua-dua projek tebatan banjir ini dijangka dapat menyelamatkan 10,088 penduduk yang terjejas banjir di DUN Jawi dan Sungai Bakap serta mengurangkan kekerapan dan keluasan kawasan banjir sebanyak 1,790 hektar,” katanya.-BH Online