Malaysia mencadangkan supaya wakil dari Palestin dijemput menyertai edisi persidangan keselamatan khususnya Dialog Shangri-La pada masa akan datang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin menyuarakan pandangan itu sebelum mengakhiri ucapannya pada Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-21 (SLD) 2024, di sini hari ini.
“Sebagai penutup dalam dialog yang membina, saya mencadangkan agar kita menjemput wakil Palestin (dalam sidang ini),” katanya.
Mohamed Khaled tampil sebagai panel bersama Menteri Pertahanan Singapura, Dr. Ng Eng Hen dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada sesi pleno ketujuh bertajuk ‘Re-imagining Solutions for Global Peace and Regional Stability’.
Untuk rekod, SLD24 yang berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun melibatkan 45 negara dengan 49 perwakilan peringkat menteri dan lebih 40 pegawai kanan dan ketua angkatan pertahanan.
Sebelum itu, Mohamed Khaled dalam ucapannya menegaskan Malaysia tetap dengan pendirian supaya gencatan senjata berhubung konflik Palestin dan Israel dikuatkuasakan serta-merta.
Menurut Mohamed Khaled, negara-negara antarabangsa perlu bersama-sama mengiktiraf kepentingan Palestin untuk mencapai keamanan.
“Konflik ini telah mencabar hati nurani kita sebagai manusia dan menguji keberanian kita untuk menghadapi dan mengutuk tindakan pembunuhan beramai-ramai.
“Izinkan saya mengulangi pendirian Malaysia sebagai sebuah negara yang menggesa gencatan senjata serta-merata dan kekal. Kami pastinya menyokong dan mengalu-alukan sebarang cadangan ke arah usaha tersebut,” ujarnya.
Katanya, Malaysia turut terbuka dengan cadangan tiga peringkat yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden baru-baru ini berhubung gencatan senjata di Palestin.
Mohamed Khaled berkata, rakyat Palestin mesti diberi keadilan penuh untuk menentukan nasib mereka sendiri serta hak kemerdekaan, kedaulatan negara dan kebebasan bergerak.
“Saya menyokong komitmen yang dinyatakan Presiden Terpilih Indonesia, Prabowo Subianto dalam ucapannya semalam, bahawa usaha aktif dan berkesan bagi penyelesaian berkekalan mesti disokong masyarakat antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut mengulangi pandangan Timbalan Perdana Menteri Australia, Richard Marles dalam sesi pleno ketiga dimana Israel perlu mematuhi perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Selaras dengan Konvensyen Genosid, Israel mesti segera menghentikan peperangan dan ancaman di Rafah,” tambahnya.
Sebelum ini, Mohamed Khaled bersama delegasi Malaysia mengadakan lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Singapura bermula 30 Mei lalu.
Lawatan kali pertama itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan (FDMM) Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) ke-12 dan SLD24. – KOSMO! ONLINE.