Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu anak muda negara ini memasukkan serta memuatkan khazanah ilmu Islam dan Turath (kitab warisan) ke dalam korpus teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri berkata, ia bagi mengelak teknologi itu hanya dipenuhi dan dipelopori unsur-unsur serta bahan dari Barat semata-mata.

“Kalau mahu berjaya, kita mesti melatih anak-anak kita yang mempunyai kemahiran dan kepakaran AI, untuk memasukkan serta memuatkan khazanah ilmu Islam dan Turath ke dalam korpus AI.

“Apa dilontar dan dimuntahkan robot baharu AI adalah berdasarkan ilmu yang dimasukkan kepadanya. Sekarang ini kita serah kepada Barat.

“Sebab itu saya katakan Turath itu ada kaitan… kerana Turath mesti juga dimasukkan ke dalam AI supaya yang dimuntahkan dan diluahkan dari negara Islam tidak terpisah daripada sistem nilai serta akhlak Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Penghayatan Riyadus Salihin Imam Al-Nawawi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini, yang turut dihadiri oleh bekas Imam Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah; Pengarah Pusat Kajian Islam Quantum Akhyar Institute, Dr Adi Hidayat; dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan Malaysia tidak boleh terpisah dan tertinggal daripada perkembangan serta kepesatan teknologi yang diperkenalkan ketika ini.

“Tidak mungkin Malaysia atau negara Islam selamat tanpa menggapai langit, meneroka, menemui penemuan baharu digital dan AI. Semua ini ada nilai. Siapa kata digital atau sains atau AI itu tiada nilai? Ada.

“Saya tanya kepada Pengarah Eksekutif Microsoft dan Nvidia… Nvidia ialah antara AI nombor satu di dunia. Saya tanya dia, saya kata kebimbangan saya di Malaysia dalam mengembangkan AI dan digital, nilai yang dipupuk itu nilai Barat, pemikiran Barat.

“Walaupun AI itu dianggap seolah-olah neutral, seluruh korpus ilmu boleh dimasukkan dan bila ada soalan, jawapannya itu nampak lengkap.

“Tapi jawapan mereka itu relevan. (Jawabnya) ia terserah kepada kita. Kalau AI itu nak dikembangkan di Malaysia, (sebab itu) yang kita asak dengan kuat supaya universiti-universiti dan fakulti AI diwujudkan dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan belum pernah dalam sejarah, kerajaan menetapkan dasar ilmu yang harus ada dalam kalangan pelajar, iaitu merujuk pengenalan aktiviti Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah.

“Sebabnya, sekarang dunia media sosial… ilmu satu hingga tiga minit. Padahal dalam tradisi ilmu, ia mesti menghadam, membaca dan menghayatinya.

“Cabaran penghayatan itu tidak mungkin dapat daripada pintasan seperti ini. Berita satu minit dan tiga minit terus jadi alim dan kupas dengan rambang,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan mula dilaksanakan di semua institusi pendidikan pada sesi persekolahan 2024/2025 bagi memartabatkan syiar Islam.-BH Online