Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh enggan mengulas berhubung isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat yang dikaitkan dengan suaminya.

Suami Hannah, Ramachandran Muniandy adalah Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti), salah satu syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

“Ini adalah majlis Kementerian Belia dan Sukan dan perkara itu tidak berkaitan dengan kementerian,” katanya ketika ditanya berhubung isu berkenaan.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Akaun Satelit Sukan di Menara KBS di sini, hari ini.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebelum ini, berkata tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang susulan pemberian kontrak terbabit kepada suami Hannah.

“Kita melihat dari segi undang-undang apabila seseorang itu mendapat kontrak atau manfaat daripada mana-mana entiti kerajaan, tetapi yang mendapat (kontrak) itu tiada kena mengena dengan tugas dan tanggungjawab (pihak yang dibangkitkan)… itu bukan kesalahan.

“Contohnya seperti yang dilaporkan media mengenai suami Hannah yang mendapat kontrak daripada Selangor dan menteri itu tiada kaitan dengan kerajaan negeri,” kata Azam.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kerajaan negeri memberi kebebasan kepada mana-mana pihak memohon untuk mendapatkan dokumen atau minit mesyuarat berhubung dakwaan kontrak DRT diberikan secara rundingan terus.

Katanya, pihaknya sentiasa terbuka untuk berkongsi maklumat berkenaan tanpa perlu ‘berselindung’.

Beliau, turut menegaskan bahawa melalui tender terbuka yang dibuat, hanya dua syarikat iaitu Badan Bas Coach Sdn Bhd dan Asia Mobiliti yang mempunyai kebenaran daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).-BH Online