Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang melakukan siasatan secara menyeluruh terhadapinsiden seorang anggota pengiring orang kenamaan didakwa memukul seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) di KL Sentral pada 28 Mei lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan berkenaan dibuat berdasarkan perkembangan terkini yang diperolehi

“Pegawai-pegawai yang terbabit dalam kes ini akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.

“Langkah ini diambil untuk memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan semua pihak yang terbabit dapat memberikan keterangan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata, keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan tiada pelaku yang terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan mereka.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah,” katanya.

Beliau berkata PDRM komited untuk memelihara integriti dan memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil untuk mempertahankan keadilan dan melindungi hak-hak individu yang terjejas terutama golongan OKU.

Terdahulu hari ini Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden seorang pengiring keselamatan yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing OKU, Selasa lalu.

Baginda bertitah, tidak sesekali membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang berlaku.

“Merujuk kepada kejadian di Hotel St Regis Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu, saya telah dimaklumkan pada hari berikutnya dan dengan segera menggesa pasukan pengiring keselamatan PDRM, untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan,” katanya. 

Dalam kejadian berkenaan, pemandu e-hailing berusia 46 tahun dilaporkan OKU bisu dan pekak mendakwa dipukul pengawal pengiring ketika sedang menunggu penumpang di lobi hotel itu.

Mangsa turut menyatakan dipukul di kepala ketika diminta mengalihkan keretanya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum telefon bimbit dan kamera papan pemuka keretanya yang dipercayai merakam kejadian itu dirampas oleh polis.-BH Online