Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Indah Water Konsortium (IWK) menyasarkan penghasilan tenaga solar sebanyak 21,500 MWh setahun, menjelang 2027 kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), berkata penghasilan tenaga solar itu bersamaan dengan sasaran kos penjimatan sebanyak RM1.8 juta.

“Segala inisiatif mampan sebegini sememangnya selaras dengan usaha dan komitmen negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun IWK30 di IWK ECO Park, Pantai Dalam di sini, malam ini.

Sementara itu, Fadillah berkata, beliau mahu IWK terus meneroka teknologi hijau ke arah pembangunan yang lebih mampan, setanding negara-negara maju. 

Katanya, IWK perlu meningkatkan inovasi dan memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memelihara alam sekitar.

“Saya juga mahu segala perancangan perniagaan yang sedang dan akan dijalankan IWK, terus memberi perhatian kepada kepentingan sistem rawatan kumbahan yang baik demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh IWK mengendalikan perkhidmatan pembetungan negara, pelbagai anugerah dan pengiktirafan diterima sama ada di peringkat kebangsaan, rantau Asia mahupun antarabangsa. 

“Pengiktirafan ini adalah bukti komitmen padu IWK hampir 30 tahun kepada pembangunan sistem pembetungan negara.

“Saya turut dimaklumkan yang IWK baru-baru ini, mendapat satu lagi pengiktirafan global apabila diiktiraf sebagai salah satu daripada empat peneraju utama dalam SDG-6 pada Global Water Summit 2024, yang diadakan di London. 

“Pengiktirafan dicapai IWK ini pastinya menyemarakkan lagi komitmen sedia ada

dalam menjayakan inisiatif hijau yang lebih mampan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, petugas IWK seringkali berhadapan dengan situasi kotor, sukar dan berbahaya. 

“Mereka inilah wira yang tidak didendang yang sering kali mungkin dilupakan kerana kita tidak nampak kerja-kerja di belakang tabir ini. 

“Namun, tanpa komitmen mereka yang terus memastikan air sisa kumbahan

dirawat dengan cekap, kita pastinya tidak akan merasai keselesaan seperti hari ini. Terima kasih IWK,” katanya.-BH Online