Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemilik kenderaan pengangkutan barangan diingatkan supaya memohon segera kad fleet bagi memastikan mereka dapat menikmati subsidi diesel selepas kerajaan melaksanakan subsidi bersasar kelak.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata kira-kira 90,000 kad fleet sudah dikeluarkan dan setakat ini sebanyak 23 kategori kenderaan mengangkut barangan layak menerima subsidi berkenaan.

“Apabila subsidi diesel ditarik balik, mereka yang memiliki kad fleet boleh membeli diesel pada harga subsidi…sebab itu penting untuk memohon.

“Buat masa ini proses pendaftaran bagi mendapatkan kad fleet masih berterusan dan saya meminta mereka yang layak segera berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas menyertai Ops Terjah di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel membabitkan pengguna di Semenanjung sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Mengulas mengenai Ops Terjah, Fuziah berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bersama Jabatan Imigresen Pahang menyerbu sebuah kedai runcit dan restoran di sini selepas pihaknya menerima aduan.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikesan adalah kegagalan peniaga berlesen menyelenggara buku stok barang kawalan mengikut Peraturan 13 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Ketirisan minyak masak paket bersubsidi dilihat turut berlaku apabila bahan memasak itu dihantar ke restoran bagi tujuan perniagaan walhal ia hanya diperuntukkan untuk kegunaan isi rumah,” katanya.

Kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas ditetapkan turut dikesan menerusi operasi yang melibatkan lebih 20 anggota penguat kuasa itu.– BERNAMA