Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kemudahan infrastruktur yang kurang mesra orang kurang upaya (OKU) dikenal pasti antara punca dasar penggajian golongan itu yang ditetapkan sebanyak satu peratus oleh kerajaan sejak 2010 masih belum dapat dicapai hingga hari ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, berkata walaupun begitu kerajaan tetap komited dalam meneruskan usaha sedikit demi sedikit untuk mencapai sasaran berkenaan tanpa menyalahi mana-mana pihak.


Katanya, berdasarkan pemerhatian kemudahan infrastruktur khususnya bagi industri dalam sektor perkilangan kebanyakan adalah bangunan lama yang tidak dapat memudahkan golongan OKU untuk bekerja.

“Sebagai contoh, akses dari satu tempat ke satu tempat (kurang mesra OKU) yang ia berlaku (dalam kebanyakan kilang) di seluruh negara.

“Memandangkan kebanyakannya (kilang) adalah bangunan lama maka kemudahan infrastruktur itu didapati tidak memudahkan OKU untuk bekerja.

“Oleh itu, untuk mencapai dasar yang ditetapkan memerlukan ia (infrastruktur) ditambah baik supaya menepati apa yang diperlukan golongan OKU,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Flextronics Technology Pulau Pinang Sdn Bhd di Perai, di sini, hari ini.

Dalam lawatan itu, Nancy dibawa meninjau kemudahan infrastruktur di kilang berkenaan yang telah menggajikan 136 pekerja OKU sejak 2022 iaitu 1.4 peratus melebihi dasar penggajian yang ditetapkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, beliau meminta Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU) dapat mempercepatkan komunikasi melalui perbincangan dengan pihak industri dalam menambahbaik kemudahan infrastruktur bagi golongan berkenaan.

” Kita tidak dapat nak salahkan sesiapa cuma (sekarang) ia perlu diwawarkan selalu dan kita minta MBOKU untuk mempercepatkan komunikasi (dengan pihak industri) supaya tindakan (tambah baik infrastruktur) dapat diambil,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan statistik sehingga 30 April 2024, jumlah keseluruhan OKU yang aktif adalah sebanyak 703,287 manakala OKU yang layak bekerja adalah sebanyak 372,164 .-BH Online