Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MARA Corporation memeterai perjanjian kerjasama dengan dua syarikat gergasi China bagi meneroka perniagaan dalam bidang pembekalan bas elektrik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerjasama itu turut membabitkan aspek baik pulih dan penyenggaraan bas elektrik, penjanaan kuasa tenaga baharu dan penyimpanan tenaga suria serta bateri.null

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, inisiatif kumpulan syarikat di bawah MARA itu muncul sebagai langkah ke hadapan dalam usaha membantu kerajaan mengalih pengangkutan bas awam daripada penggunaan enjin diesel kepada kenderaan elektrik (EV).

“MARA melalui anak syarikat terbabit secara langsung, bukan sahaja untuk memperoleh teknologi baharu dan pembinaan teknologi, termasuk bagi Universiti Kuala Lumpur dan institusi TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) di bawah MARA.

“Namun, yang lebih penting adalah ia (kerjasama) akan memperoleh teknologi baharu dalam pengangkutan awam dan kita telah lakukan satu ‘game changer’ kepada (sektor) pengangkutan awam.

“Kita tahu arahan Kabinet meminta supaya semua bas (di Malaysia) secara berperingkat ditukar daripada diesel kepada EV dan ini dilakukan MARALiner bersama syarikat tempatan (dari Malaysia) yang membina badan bas, SKS Coach Builders Sdn Bhd (SKS) dan mereka mempunyai pengalaman agak lama dalam bidang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Pemeteraian memorandum persefahaman, memorandum perjanjian serta surat niat, masing-masing antara SKS dan CRRC Corporation (CRRC); MARALiner dan SKS; serta MARA Corp dan China Electrical Equipment Group (CEEG) di sini, semalam.

Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi pertamanya ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022, dan lawatan selama 11 hari bermula 22 Mei lalu itu adalah atas jemputan Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Malaysia ketika ini, memiliki 60,000 bas menggunakan enjin diesel dan proses menukarkannya kepada jenis EV akan dilakukan secara berperingkat.

“Dalam jangka panjang, bukan sahaja dapat melakukan (pengurangan) pelepasan karbon tetapi dari segi kos, ianya didapati lebih murah berbanding penggunaan diesel,” katanya.

Mengenai ketetapan tempoh bagi 60,000 bas diesel ditukarkan kepada EV, beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dalam Kabinet sebelum ini, yang menetapkan tempoh tidak lebih 10 tahun bermula 2024.

Sementara itu, MARA Corporation melalui MARALiner dalam kenyataan, berhasrat menjadi peneraju dalam pembekalan bas EV, termasuk jualan langsung dan pajakan untuk digunakan kegunaan awam dan kerajaan, dianggar membabitkan 800 bas dengan nilai kira-kira RM960 juta.

Melalui kerjasama perniagaan dengan dua syarikat China berkenaan, penekanan terhadap pembangunan modal insan, terutama dalam bidang TVET dengan pembukaan peluang latihan lanjutan dan pekerjaan kepada golongan pelajar TVET dalam ekosistem MARA, termasuk pembangunan ‘teaching factories’ dalam bidang teknologi berkaitan.

Menurut kenyataan itu, CRRC dan CEEG juga akan terbabit dalam memberi sokongan teknikal dan industri di dalam pembangunan Malaysia China Institute (MCI) kelak.

“Selain itu, ekosistem pembangunan vendor dan usahawan MARA akan menerima manfaat daripada kerjasama ini melalui pembabitan vendor tempatan di dalam pembekalan komponen bas EV dan lonjakan peluang perniagaan kepada usahawan di bawah program ProPower MARA melalui pemindahan teknologi dan kepakaran diterima dari syarikat utama China ini,” katanya.-BH Online