Malaysia dan China akan menandatangani beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan lagi kerjasama perdagangan dan pelaburan sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata MITI mempunyai empat MoU bersama dengan China yang kesemua kerjasama terbabit memberi fokus dan tumpuan kepada sektor berteknologi tinggi dan perdagangan.
“Beberapa kementerian lain juga akan terbabit dalam MoU bersama China. Maklumat terperinci akan dimaklumkan kemudian yang mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta menyaksikan acara menandatangani MoU itu pada hujung bulan ini,” katanya kepada Bernama selepas rancangan temu bual eksklusif bersama Bernama Radio, bertajuk ‘Jubli Emas Malaysia-China’, di sini, hari ini.null
Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China secara rasmi pada 31 Mei 1974, sekali gus muncul sebagai negara ASEAN pertama yang menghulurkan tangan tanda persahabatan dengan Beijing.
Tengku Zafrul berkata, kunjungan Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia pada hujung Mei ini merupakan satu penanda aras yang baik kepada hubungan dua hala kerana ia akan memberi keyakinan kepada pelabur China dan juga tempatan untuk meningkatkan pelaburan selain mendapat akses yang lebih luas kepada pasaran kedua-dua negara.
Terdahulu dalam rancangan temu bual eksklusif bersama Bernama Radio, beliau berkata China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan juga sumber pelaburan langsung asing yang utama.
“Pada 2023, China adalah antara lima sumber terbesar pelaburan asing untuk Malaysia dengan jumlah pelaburan bernilai AS$3.15 bilion (RM14.5 bilion).
“Sektor yang menjadi tumpuan pelabur dari China kebanyakannya adalah dalam sektor elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia dan produk kimia,” katanya.
Menurutnya, jumlah perdagangan antara Malaysia dan China setakat ini bagi 2024 sangat memberangsangkan yang mana antara tempoh Januari hingga April, perdagangan dengan negara republik itu meningkat 5.9 peratus kepada RM151.06 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Untuk pelaburan pula, laporan pelaburan diluluskan bagi suku pertama 2024 dijangka dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Jun 2024.
“Namun begitu saya optimis nilai pelaburan bagi tempoh terbabit akan menunjukkan data pelaburan yang positif, seiring dengan pertumbuhan hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala yang semakin erat,” katanya lagi.-BERNAMA