Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Persepsi negara luar terhadap Malaysia ketika ini semakin baik sekali gus berada pada landasan tepat untuk bergerak dan memacu ke hadapan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, usaha Wisma Putra untuk mengembalikan semula persepsi Malaysia di peringkat antarabangsa sentiasa menjadi keutamaan, selain pada masa sama untuk memperkukuhkan ekonomi.

“Politik saja tiada kesudahannya, ekonomi penting, bila ekonomi baik, rakyat ada kerja, duit ada dalam poket dan ada makanan di atas meja, itu saya rasa akan menyenangkan hati rakyat.

“Politik negara ketika ini tenang walaupun ada macam-macam. Kita dah ada lebih dua pertiga di Parlimen, dah ada Akta Anti Lompat Parti, jadi tiba masanya kita lupakan itu. Yang penting negara perlu diurus, rakyat perlu mendapat kerajaan yang baik pengurusannya.

“Ekonomi negara perlu dipertingkatkan, ke mana saja saya pergi, bertemu dengan pemain industri bagi menarik pelabur, tapi pelaburan ini jangan kata kita dapat RM20 bilion, esok pagi nak nampak, ia sekurang-kurangnya mengambil masa lima tahun,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, di Sekolah Kebangsaan Batu Hampar, di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata menerusi satu peraturan baharu yang dikeluarkan kementerian, duta yang hendak dilantik perlu menguasai ilmu perdagangan dan pelaburan.

“Mereka perlu mengikuti kursus intensif selama dua hari penuh di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk membantu mereka berunding dalam perkara berkaitan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu dapat membantu memastikan duta negara menjadi wakil bagi pihak ketua negara di tempat di mana mereka bertugas.

Katanya, hubungan antarabangsa Malaysia ketika ini bukan saja hubungan diplomatik biasa tetapi juga hubungan perdagangan sebagai suatu usaha terbaharu.

“Saya berhasrat nak jadikan Malaysia sebagai negara pengimbang negara berkecuali yang tidak condong ke kiri dan ke kanan. Semua negara boleh bercakap dengan kita dan berunding dengan kita.

“Ekonomi negara kita adalah ekonomi berdagang dan perlu bersahabat dengan semua negara,” katanya yang memaklumkan terdapat beberapa negara luar, antaranya Senegal yang menunjukkan minat untuk mempelajari sesuatu dengan Malaysia.-BH Online