Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengakui ada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdepan masalah kewangan dalam melaksanakan kerja penyelenggaraan pokok dalam kawasan pentadbiran masing-masing.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kerja penyelenggaraan pokok perlu dijalankan sepanjang masa malah semua PBT perlu melaksanakannya.

“Cuma saya tidak nafikan ada PBT khususnya majlis daerah yang ada kekangan kewangan kerana kos penyelenggaraan setiap pokok agak mahal.

“Oleh itu, kita akan sentiasa mencari (kaedah sesuai) dengan rakan strategik bersama pihak swasta ataupun wakil rakyat.

null

“Daripada pihak kementerian pun, kita akan turunkan peruntukan untuk membantu PBT supaya sentiasa dapat menjaga kesihatan pokok ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Forum Perbandaran Hijau (Green Urban Forum – GUF) 2024 dan Majlis Penyampaian Anugerah, Hadiah & Sijil Penghargaan Sempena Hari Landskap Negara 2024 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS di sini hari ini.

Kor Ming diminta mengulas usaha penyelenggaraan dan mengenal pasti pokok berisiko yang mengancam keselamatan awam hanya dilakukan apabila terdapat kejadian hujan, ribut dan sebagainya.

Beliau berkata, penjagaan kesihatan dan penyelenggaraan pokok amat penting terutamanya yang sudah berusia.

“Jangan lupa ‘Old is Gold’..pokok yang berusia lebih 100 tahun, bukan sahaja menjadi aset penting, pokok ini adalah satu daripada khazanah warisan negara kita.

“Contoh terbaik adalah Pokok Hujan di tepi Taman Tasik Taiping, setiap pokok dianggarkan nilai pasaran RM2 juta hingga RM3 juta ..setiap pokok diberikan polisi insurans untuk memastikan pokok itu tidak tumbang.

“Majlis Perbandaran Taiping sudah melantik pakar daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) di mana pakar berkaitan pokok akan turun setiap tiga bulan untuk beri suntikan vitamin, pangkas …ini untuk memastikan pokok hujan itu kekal segar dan sihat,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berharap forum berkenaan dapat meningkatkan lagi pemahaman pelaksana dan PBT mengenai kaedah penghijauan bandar menerusi tanaman pokok pinggiran jalan serta cabaran yang dihadapi. 

“Kita sedia maklum bahawa penanaman pokok di tepi jalan mempunyai cabaran yang tersendiri seperti isu penyelenggaraan dan keselamatan terutamanya membabitkan pokok-pokok besar yang mudah tumbang apabila dilanda cuaca buruk.

“Pada hemat saya, sudah tiba masa supaya kita jenamakan semula usaha penghijauan bandar daripada dilihat sebagai kerja landskap sahaja (mere landscaping job) kepada inisiatif berimpak yang dapat membantu negara mencapai objektif bandar rendah karbon.

“Selain itu ia juga dapat meningkatkan biodiversiti dan daya huni bandar di samping meningkatkan kesejahteraan hidup urban dengan menggalakkan orang ramai berjalan kaki dan beriadah,” katanya.-BH Online