Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Shanghai, dekat sini, hari ini, bagi meneruskan lawatan rasminya ke China.

Timbalan Perdana Menteri diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis disambut Konsul Jeneral Malaysia di Shanghai Syed Farizal Aminy Syed Mohamad, pada jam 12.40 tengah hari tadi.

Lawatan rasmi itu sempena undangan Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang itu adalah yang pertama sejak Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.

Ahmad Zahid tiba di Shanghai selepas memulakan lawatannya dengan mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Eksekutif dari Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka-chiu, di Hong Kong Rabu lalu, diikuti ke ibu pejabat Huawei di Shenzhen, semalam.

Di Shanghai, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dijadual menyaksikan majlis memeterai beberapa memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia serta China dalam bidang teknologi tinggi dan pendidikan, selain berinteraksi dengan komuniti Malaysia di China.

Beliau juga dijadualkan berlepas ke Beijing Selasa ini, dan dijangka melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Li Qiang.

Ahmad Zahid kemudian dijadual mengadakan perbincangan dengan Xuexiang dan Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong sebelum mengakhiri lawatan rasminya ke republik itu pada 1 Jun ini.

Ahmad Zahid juga akan menjadi tuan rumah bagi Majlis Resepsi Gala dan menghadiri Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Penubuhan Hubungan Diplomatik Malaysia-China, yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara Asing (CPAFFC) Persatuan Rakyat China dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing.

Lawatan rasmi beliau itu turut disertai Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Wisma Putra sebelum ini, memaklumkan lawatan rasmi Ahmad Zahid bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, selain beliau dijangka meneroka peluang kerjasama, terutama dalam bidang pendidikan memfokuskan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan industri halal serta pertukaran antara rakyat.

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 dan ini adalah lawatan pertukaran pemimpin tertinggi kedua-dua negara sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Pada 2023, jumlah dagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion, menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia dan pada tahun sama, sejumlah 64 projek perkilangan diluluskan membabitkan nilai pelaburan RM12 bilion.

China muncul negara kelima sebagai pelabur terbesar dan projek-projek ini dijangka mewujudkan 9,305 pekerjaan.-BH Online