Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan hubungan kukuh Malaysia-China yang terjalin sejak 50 tahun lalu, sangat istimewa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini dibuktikan menerusi aspek kerajaan dengan kerajaan, perniagaan ke perniagaan dan antara rakyat yang kukuh sejak dahulu.

Beliau antara lain memaklumkan, lawatannya ke republik itu bertujuan memperkukuh lagi hubungan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden China, Xi Jinping serta Premier China, Li Qiang.


“Hubungan kukuh Malaysia-China dizahirkan menerusi langkah membenarkan kemasukan tanpa visa selama 30 hari bagi pelancong China ke Malaysia, manakala 15 hari untuk pelancong dari Malaysia ke China.

null

“Hubungan saya dan pemimpin mereka cukup berat (erat) dan sudah berada di China sejak 1990-an sebagai ahli korporat ketika itu, apatah lagi ketika berada di dalam kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama media Malaysia sempena lawatan rasmi pertamanya ke China selepas dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri sejak Disember 2022 di Hong Kong, hari ini.

Lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu adalah atas undangan daripada Timbalan Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.

Malaysia dan China menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974.

Mengulas lawatannya ke China, Ahmad Zahid berkata, beberapa perkara akan dibincangkan, membabitkan aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal serta perdagangan.

“Di Shanghai nanti, saya akan menyaksikan beberapa perjanjian (berkaitan TVET) akan ditandatangani, selain di Beijing, secara rasminya saya akan hadir majlis ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik (Malaysia-China),” katanya.-BH Online