Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada kerajaan Ireland, Norway dan Sepanyol kerana akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.

Menurut Anwar, ketiga-tiga negara itu memilih untuk berada di landasan sejarah yang tepat serta berdiri tegak di jalur kemanusiaan dan prinsip keadilan.

“Niat murni negara-negara ini jelas terpacul saat diumumkan keputusan tersebut dan ini bukti nyata bahawa mereka memperaku hak rakyat Palestin kepada prinsip kedaulatan, maruah dan dalam menentukan nasib dan masa depan sendiri.

“Detik bersejarah ini menggerakkan dunia untuk lebih cepat mencapai dan memperteguh keamanan di benua timur tengah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, negara-negara lain yang belum berbuat demikian perlu memahami fakta bahawa dunia semakin celik kepada aspirasi dan perjuangan warga Palestin.

Ujar beliau, usaha Palestin dalam mencari dan menjelmakan keadilan tidak mampu tertahankan lagi.

“Ayuh bersama di garis ini dalam mengemudi sejarah lantas memungkinkan perubahan yang bermakna buat rakyat Palestin,” katanya.

Norway, Ireland dan Sepanyol baru-baru ini mengumumkan keputusan mengiktiraf Palestin.

Pemimpin Ireland akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara tetapi belum menyatakan masa.

Pemimpin Norway dan Sepanyol pula akan berbuat demikian mulai 28 Mei 2024. – KOSMO! ONLINE