Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menjelaskan Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) membatalkan permit pelawak kontroversi dari Singapura, Sharul Channa yang sepatutnya beraksi di Petaling Jaya, Ahad lalu, selepas mengambil kira laporan polis membabitkan video memaparkan pelawak terbabit, yang didakwa menyentuh isu boleh menjejaskan keharmonian negara.
Fahmi berkata, beliau sudah menerima laporan daripada Unit PUSPAL yang memperincikan tindakan pembatalan permit yang sebelum ini diberi kepada Sharul untuk beraksi di sebuah premis di Petaling Jaya.
“Saya menerima laporan daripada Unit PUSPAL dan dimaklumkan mereka menerima makluman Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa terdapat sejumlah laporan polis yang dibuat (ke atas Sharul) baru-baru ini, berhubung video yang baru dimuat naik.
“Saya difahamkan video mempromosikan persembahan itu dimuat naik baru-baru ini. Akibat daripada video dimuat naik itulah, sejumlah laporan polis dibuat di mana laporan polis itu dikatakan ada kaitan dengan isu 3R (raja, agama dan kaum).
“Itu mungkin video lama tetapi laporan polis itu berkaitan isu 3R. Jadi, Jawatankuasa PUSPAL mendapat maklumat dan membuat keputusan berdasarkan senario itu,” katanya ditemui pada malam gala dan tayangan perdana filem Memoir Seorang Guru di ibu negara, kelmarin.
Baru-baru ini, Sharul menerusi hantaran video di Facebook (FB) meluahkan rasa kecewa apabila pembabitannya menerusi persembahan komedi, Just Joking di Petaling Jaya Live Arts Centre dibatalkan PUSPAL, dua hari sebelum acara berlangsung.
Sharul dijadual muncul bersama pelawak tempatan seperti Rizal Van Geyzel dan Mad Sabah memberitahu, pembatalan itu berlaku walaupun dia memberi jaminan tidak akan menyentuh isu agama, bangsa atau raja.
Susulan itu, timbul dakwaan mengatakan pembatalannya berkait dengan laporan polis terhadap klip video 2018 yang didakwa menyentuh isu 3R.
Ditanya apakah penjelasan mengenai punca pembatalan permit itu sudah dibuat kepada pihak terbabit, Fahmi percaya PUSPAL sudah melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.
“Saya tidak berada dalam jawatankuasa itu, tetapi, kebiasaannya mereka (Sharul) akan dimaklumkan.
“Tetapi mungkin saya akan bincang apakah cara yang lebih teliti untuk masa hadapan,” katanya.
Fahmi berharap insiden yang menimpa Sharul dijadikan iktibar kepada artis tempatan dan luar negara agar lebih berhati-hati dalam membicarakan isu sensitif yang mencabar Perlembagaan dalam media sosial.
“Bukan hanya kepada artis luar negara, malah, artis tempatan. Di Malaysia, kalau kita sentuh isu 3R, pihak berkuasa akan bertindak.
“Itu peringatan yang saya beri kepada pengguna media sosial dan artis. Jadi, isu ini dalam bidang kuasa siasatan polis.
“Sekiranya berlaku siasatan maka kita ambil perkara itu sebagai sebahagian daripada pertimbangan (kelulusan permit),” katanya.-BH Online