Kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan yang akan dilaksana kontraktor kecil Bumiputera di seluruh negara pada tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata daripada jumlah itu, sejumlah RM200 juta adalah bagi 336 kerja yang ditawarkan kepada kontraktor di Semenanjung dan bakinya untuk 122 kerja di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Kerja penyenggaraan ini ditawarkan kepada kontraktor gred G1 hingga G4 menerusi cabutan undi, diharap ia dapat membuka ruang dan peluang kepada kontraktor terbabit untuk lebih maju ke hadapan.
“Pelaksanaan menerusi peruntukan daripada Kementerian Kewangan ini diyakini dapat membantu kontraktor kecil menjana pendapatan dan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya.
null
Beliau ditemui selepas hadir Majlis Cabutan Undi Tawaran Pelaksanaan Kerja Penyenggaraan Jalan Persekutuan Inisiatif Bajet 2024 Bagi Kontraktor Kecil Bumiputera G1-G4 di Jabatan Kerja Langkawi (JKR) di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad; Pengarah Urusan THB Maintenance Sdn Bhd, Datuk Seri Hasnul Rabiain Ismail dan Pengarah JKR Kedah, Mohd Fisal Ismail.
Mengulas mengenai majlis cabutan berkenaan, Nanta Linggi berkata, peruntukan berjumlah RM26.98 juta disediakan bagi melaksanakan 45 kerja penyenggaraan di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang tahun ini.
“JKR akan memantau kualiti kerja serta menilai prestasi setiap kontraktor dan penilaian itu akan dijadikan asas sama ada kontraktor berkenaan layak untuk dipertimbangkan dalam pemberian kerja pada masa hadapan,” katanya.-BH Online