Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggesa semua agensi di bawahnya bersiap siaga mendepani era digitalisasi dengan menerokai pelbagai cabang teknologi baharu, terutama perbankan digital.
Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk R Ramanan, berkata sektor perbankan juga perlu mengorak langkah sama supaya tidak ketinggalan dalam pengoperasian dan penyampaian perkhidmatan.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggesa semua agensi di bawahnya bersiap siaga mendepani era digitalisasi dengan menerokai pelbagai cabang teknologi baharu, terutama perbankan digital.
Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk R Ramanan, berkata sektor perbankan juga perlu mengorak langkah sama supaya tidak ketinggalan dalam pengoperasian dan penyampaian perkhidmatan.
“Jika tidak memajukan diri dan mengambil inisiatif ini untuk bergerak seiring dengan perkembangan semasa, kita akan ketinggalan. Sehubungan itu, kita perlu mengambil kesempatan ini dan menaik taraf ke arah perbankan digital,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2024 di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr Mohammad Hanis Osman.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata, gesaan memperkasakan operasi perbankan digital itu adalah selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melihat pembangunan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) diterokai merentas pelbagai sektor.
Sementara itu, beliau turut menyokong penuh inisiatif Bank Rakyat untuk memacu pembangunan sektor keusahawanan serta koperasi negara.
“Komitmen berterusan Bank Rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif keusahawanan seperti Program Santai Namun Sampai, RAKYATpreneur, Bank Rakyat UNIpreneur serta inisiatif S.U.T.E.R.A yang menghubungkan usahawan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan juga memberikan impak yang besar.
“Usaha ini adalah amat sejajar dengan matlamat KUSKOP menerusi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) untuk melahirkan usahawan yang berdaya saing dan kompetitif di pasaran domestik dan global, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan yang unggul menjelang 2030, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi,” katanya.
Ramanan berkata, industri keusahawanan termasuk koperasi memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara, yang mana sektor PMKS menyumbang kira-kira 38 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekitar 48 peratus sektor tenaga kerja negara.
“Sektor koperasi juga adalah salah satu enjin pertumbuhan yang menyumbang kepada KDNK negara di mana menerusi lebih 16,000 koperasi di Malaysia, sumbangan sektor ini diterjemahkan menerusi peranan dan mandat sektor koperasi dalam membantu membasmi kemiskinan, meningkatkan peluang pekerjaan, penghasilan produk dan perkhidmatan selain merapatkan jurang ekonomi,” katanya.-BH Online