Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia disifatkan sebagai antara negara Komanwel yang menerajui pembangunan transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, ia adalah antara perkara dibangkitkan pada Persidangan Menteri-Menteri Pendidikan Komanwel (CCEM) ke-22 yang dihadirinya di Marlborough House, London, United Kingdom, dari 16 hingga 17 Mei lalu.

“Mesyuarat yang diadakan itu juga bersetuju mengambil Malaysia sebagai satu daripada negara contoh yang mempunyai amalan terbaik bagi memastikan aspirasi digital dan AI dijayakan.

“Antara syor yang dipersetujui ialah Komanwel perlu menjadi entiti penting dalam bidang pendidikan, dan antara cadangannya ialah mewujudkan Commonwealth AI Coordinating Program sebagai langkah membantu 56 negara anggota Komanwel yang kebanyakannya masih berdepan masalah infra dan kemudahan asas Internet,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, semalam.

CCEM menghimpunkan menteri-menteri negara anggota Komanwel bagi membincangkan perihal pendidikan serta perkongsian bersama bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan negara anggota.

Pada persidangan itu, Zambry turut membangkitkan mengenai pendekatan terbaik bagi menarik minat terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kaedah pembelajaran pedagogi yang lebih efektif, selain mengutarakan isu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjadi tumpuan ramai.

“Saya berkongsi dengan rakan negara anggota Komanwel bahawa Malaysia sedang bergerak ke hadapan dalam bidang TVET dan telah menubuhkan Majlis TVET Negara bagi menyelaras setiap bahagian dan agensi yang terbabit TVET.

“Saya menyentuh berkenaan empat perkara tindakan yang perlu diambil berkenaan TVET, iaitu komitmen kerajaan dan pihak berkaitan; pembabitan pelbagai peringkat kumpulan dan segmen masyarakat; kualiti falsafah pendidikan; serta nilai kemanusiaan (etika),” katanya.

Beliau berkata, CCEM kali ini turut memperlihatkan kesungguhan semua negara anggota untuk memastikan pendidikan di setiap negara dapat membangun bersama, terutama dalam mengejar kepantasan kemajuan dunia teknologi. – BERNAMA