Keengganan Ahli Parlimen daripada BERSATU menjawab sebarang surat atau notis tuntutan bagi menyatakan sokongannya kepada parti, tidak akan menjejaskan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat.
Pengamal undang-undang yang juga penganalisis politik, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata ini kerana kesalahan itu tidak melanggar mana-mana peruntukan parti, apatah lagi Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.null
Dalam pindaan perlembagaan BERSATU sebelum ini, katanya tidak disebutkan secara spesifik keadaan dan bentuk kesalahan yang membolehkan parti mengarahkan wakil rakyatnya supaya mengosongkan kerusinya.
“Pindaan perlembagaan dikemuka BERSATU untuk menyelesaikan masalah enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) mereka ini sebenarnya tidak tuntas. Iaitu tidak mampu mencapai matlamat sebenarnya untuk mengosongkan kerusi wakil rakyatnya.
“Tiada peruntukan dalam undang-undang yang mengarahkan seseorang wakil rakyat perlu kosongkan kerusi atau tergugur kerusinya hanya jika dia tidak menjawab notis atau surat dari partinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, Speaker Dewan Rakyat juga tidak boleh menggunakan alasan tidak menjawab notis atau surat untuk mengarahkan seseorang Ahli Parlimen supaya mengosongkan kerusinya.
“Bawa kes surat atau tuntutan ke mahkamah, dalam kes BERSATU ini adalah sama dengan bawa notis atau surat kepada speaker untuk membuat keputusan sama ada kerusi itu perlu dikosongkan atau tak.
“Speaker pula tidak boleh sewenang-wenangnya menerima hujah bahawa wakil rakyat itu tidak menjawab notis atau surat dari partinya, maka dia perlu mengosongkan kerusinya, tak boleh semudah itu,” katanya.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul sebelum ini menegaskan tidak menerima sebarang notis daripada BERSATU berhubung status keahlian enam Ahli Parlimen parti itu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta memutuskan kedudukan mereka masih kekal sebagai wakil rakyat.
Semalam, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menegaskan tidak akan menjawab surat arahan yang dihantar BERSATU susulan tindakannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Ia dibuat susulan tindakan BERSATU memberi tempoh 14 hari kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN terbabit untuk membalas arahan bertulis dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, sebagai usaha untuk mengarahkan mereka mengosongkan kerusi disandangnya.
Dalam pada itu, Shamsuddin berkata, situasi mungkin berbeza dihadapi Ahli Parlimen Tanjong Karang, Dr Zulkafperi Hanapi dan ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, yang sebelum ini dimaklumkan sudah terhenti secara automatik keahlian partinya selepas mereka menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.
“Keadaan dua wakil rakyat ini mungkin berbeza dengan lima (wakil rakyat) yang lain. Sebab mereka secara terangan beralih ke pihak yang lain, iaitu berkempen untuk pihak lawan. Jika BERSATU ambil tindakan susulan, boleh menjurus kemungkinan kerusi dua wakil rakyat ini perlu dikosongkan,” katanya.
Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan menggariskan dua sebab seseorang Ahli Dewan Rakyat perlu mengosongkan kerusi dimenanginya dalam pilihan raya iaitu wakil rakyat yang melepaskan keanggotaan sebagai atau tidak lagi menjadi anggota parti politik, atau calon Bebas yang bertindak menyertai parti politik sebagai ahli.-BH Online