Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemasangan Jambatan Bailey di Jalan Semenyih-Sungai Lalang yang runtuh akibat banjir Isnin lalu berjaya disiapkan dalam tempoh 36 jam oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurut beliau, pencapaian berkenaan sekali gus adalah prestasi terbaik yang pernah direkodkan oleh kementerian itu membabitkan pemasangan Jambatan Bailey setakat ini.

“Dalam tempoh 36 jam, tidak pernah lagi kita memasang (Jambatan Bailey) sepantas ini. Ada 23 Jambatan Bailey di seluruh Semenanjung Malaysia ketika ini dan tiga daripadanya dipasang pada tahun ini iaitu di Jeli, Kelantan; Pekan, Pahang; dan Hulu Langat, Selangor.

“Kenapa kita buat dengan pantas sebab kita nak selesaikan masalah rakyat dengan pantas. Di JKR sekarang kita utamakan 3K iaitu kepantasan dalam pelaksanaan, kos yang munasabah dan kualiti yang terjamin,” katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan pemasangan Jambatan Bailey di Jalan Semenyih-Sungai Lalang dekat sini hari ini.

Beliau berkata kerja pemasangan Jambatan Bailey jenis Mabey dengan kelebaran 7.3 meter sepanjang 60 kaki (18.28 meter) membabitkan kos RM2 juta itu melibatkan seramai 19 petugas dari JKR Petaling dan JKR Hulu Langat.

Ahmad berkata, pembinaan jambatan yang bermula pada Rabu 9 malam telah berjaya disiapkan pada hari ini sekali gus dibuka kepada pengguna mulai 3 petang tadi.

Beliau berkata, JKR Selangor akan memohon kepada kerajaan negeri untuk membina jambatan baharu dengan anggaran RM2 juta dengan tempoh pembinaan yang dianggarkan selama dua tahun.

“Jalan ini jalan negeri, maka peruntukan untuk bina jambatan kita akan dapatkan daripada JKR negeri. Itu tentunya kita berbincang dengan exco kerajaan negeri, exco JKR dan YB Izham Hashim (Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor),” katanya.

Jambatan Bailey yang mampu menampung had muatan 40 tan itu dilihat akan memberi manfaat khususnya kepada penduduk di sekitar kawasan Hulu Langat apabila laluan berkenaan digunakan kira-kira 200 kenderaan setiap hari.

“Kita juga akan memasang lampu jalan solar dan melaksanakan garisan jalan untuk keselamatan. Sebelum ini kita ada membuat lencongan laluan sementara susulan kejadian ini untuk kenderaan ringan tetapi sudah ditutup kerana jambatan telah siap.

“Itu tanah persendirian (laluan yang digunakan) dan kita ucap terima kasih kepada pemilik tanah kerana membenarkan laluan beberapa hari ini sehingga kita berjaya membuka laluan jambatan,” katanya. – BERNAMA