Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dan Uzbekistan boleh berganding bahu bagi meneroka bidang baharu dalam pendigitalan serta peralihan tenaga, sekali gus mempersiap rakyat masing-masing dengan ilmu baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kedua-dua negara juga boleh menjalin kerjasama yang baik dalam sektor halal, perbankan dan teknologi makanan.

“Sudah tentu kita perlu pragmatik. Kita sedang berhadapan dengan dunia yang teramat mencabar,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Mirziyoyev sebelum mengadakan mesyuarat dengan presiden itu.

Anwar berkata, kedua-dua negara juga perlu meningkatkan kualiti pendidikan masing-masing.

“Sudah pasti kami akan bekerjasama dalam sektor pendidikan juga,” katanya.

Bagi perdagangan dan pelaburan, beliau berkata, semasa Forum Perniagaan di Samarkand esok, syarikat serta konglomerat terkemuka Malaysia akan mengambil bahagian.

“Perkara itu menjelaskan mengapa kami menyokong keseluruhan idea perniagaan tersebut. Esok, pemain utama dalam bidang berkenaan bersama-sama PETRONAS dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) akan mengambil bahagian. 

“Anda bukan berurusan dengan negara sebarangan sebaliknya sebuah negara yang penting,” katanya.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Anwar dari Kazakhstan, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tashkent pada 2.15 petang waktu tempatan (5.15 petang waktu Malaysia).

Uzbekistan perhentian terakhir lawatan rasmi Anwar ke tiga negara Asia Tengah. 

Perdana Menteri sebelum ini mengadakan lawatan rasmi ke Republik Kyrgyz dan Kazakhstan.

Pada Sabtu, Perdana Menteri dijadualkan melawat Kompleks Imam Hazrati di sini yang menyimpan manuskrip asal al-Quran pada era Khalifah Usman Affan (Mashaf Uthmani), iaitu tertua di dunia.

Dari Tashkent, Perdana Menteri akan berlepas ke Samarkand, tempat beliau dijadual menyampaikan ucapan di Forum Perniagaan Peringkat Tinggi Uzbekistan-Malaysian di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera Samarkand. – BERNAMA