Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi semalam sehingga mengorbankan dua anggota polis tidak boleh diambil mudah walaupun negara berada dalam keadaan aman, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sehubungan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu berusaha keras menghalang kejadian mengejutkan itu daripada berulang.

Bagaimanapun, katanya beliau yakin Malaysia adalah antara negara paling aman dari unsur keganasan berdasarkan indeks keamanan.

“Malaysia adalah negara contoh, dasar deradikalisasi Malaysia telah diterima di dunia. (Jadi) Saya rasakan tak sepatutnya negara kita hadapi permasalahan dari segi keganasan….

“Negara kita harus bebas dari keganasan, kita harus jamin keharmonian pelbagai kaum, pelbagai agama. Apa berlaku di Ulu Tiram, tindakan pantas polis amat dialu-alukan dan kita mahu hapuskan 100 peratus pengaruh terrorism atau keganasan di negara kita,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Loji Janakuasa Biogas 5.5 Megawatt Felcra Japutra Sdn Bhd – Cenergi SEA Berhad (Cenergi) di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah seterusnya menyarankan supaya kesefahaman silang budaya dan komunikasi terus diperkukuhkan supaya masyarakat lebih mengenal antara satu sama lain. 

“(Silang budaya dan komunikasi) dilakukan supaya pemahaman dan kefahaman rakyat pelbagai kaum dapat dipertahankan di negara ini,” katanya.

Beliau juga berharap masyarakat umum tidak meminggirkan bekas-bekas ahli kumpulan yang dianggap radikal, supaya mereka tidak kembali terjebak dengan aktiviti tidak sihat kerana terasing daripada komuniti lebih besar di sesuatu kawasan.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi semalam itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan 24 tahun, serta seorang suspek berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Suspek lelaki ditembak mati itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah dan pemeriksaan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima ahli keluarganya berumur 19 hingga 62 tahun.-BH Online