Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ketiadaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri pada Sukan Olimpik tahun ini adalah satu peringatan awal atau ‘wake up’ buat Kementerian Belia dan Sukan untuk mula membangunkan bakat baru sukan terjun di seluruh negara.

Ini selepas untuk kali pertamanya hanya Bertrand Rhodict Lises yang akan menjadi penerjun tunggal negara dalam temasya berkenaan berbanding penyertaan dalam beberapa temasya Olimpik sebelum ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ketiadaan penerjun elit melayakkan diri ke temasya itu adalah sesuatu yang harus diambil serius serta setiap negeri perlu memandang dengan lebih jauh dalam menghasilkan bakat baru.

“Saya sudah minta kepada Bryan Nickson Lomas selaku Pengarah Teknikal Skuad Terjun Negara untuk bergerak pantas menerusi program ‘fast track’ dalam acara terjun ini, ia adalah ‘wake up call’ apabila Pandelela dan Dhabitah tidakpergi ke Olimpik.

null

“Kita juga tidak boleh selamanya bergantung kepada Pandelela dan Dhabitah semata-mata seperti sebelum ini di mana negara hanya bergantung kepada kehebatan Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol Ann David (skuash), Pandelela dan Dhabitah (sukan terjun).

“Sudah tiba masanya untuk kita mula menghasilkan atlet baru dan pencarian bakat terutama di setiap negeri adalah sangat penting.

“Dalam masa sama juga, pencarian bakat baharu dan pembangunan sukan terjun ini hendaklah memfokuskan kepada semua negeri meskipun sukan terjun bukanlah sukan teras atau ‘core’ kepada pembangunan sukan negeri berkenaan kerana terdapat potensi bakat yang tidak kita sedari boleh diketengahkan dalam mewakili negeri dan kebangsaan.

“Itu sebab saya maklumkan kepada Exco Belia dan Sukan setiap negeri sebelum ini untuk memberi kepentingan sama rata kepada sukan buat golongan wanita dan diharapkan Majlis Sukan Negeri masing-masing tidak abaikan dengan tidak memberi bajet kepada sukan wanita kerana kita tidak mahu bakat yang ada dibazirkan begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan bakat cilik sukan terjun sempena Program Pencarian Bakat Akuatik Terjun di Kolam Renang Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, di sini, hari ini. 

Katanya, kepentingan pembangunan sukan terjun terutama dalam acara wanita ini adalah disebabkan ia kini menjadi antara lubuk pingat dalam setiap pertandingan, kejohanan mahupun temasya sukan peringkat serantau.

“Malah, Malaysia adalah kuasa sukan terjun di peringkat Asia Tenggara namun sekiranya pembangunan bakat dilakukan secara konsisten di setiap negeri, sukan ini dapat pergi dengan lebih jauh di peringkat antarabangsa seperti kejayaan pernah dilakar sebelum ini.

“Selain itu, kekurangan bakat wanita dalam acara terjun juga hampir menyebabkan acara terjun 10 meter wanita dalam Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini digugurkan disebabkan tidak menpat penyertaan yang banyak namun mujurlah kita (KBS) berjaya kembalikan semula acara berkenaan dengan penyertaan enam buah negeri bagi acara berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Hannah melawat kemudahan prasarana sukan akuatik di kolam renang berkenaan yang pernah digunakan bagi acara akuatik semasa SUKMA Perlis pada 2014 lalu.

Selain itu juga, beliau turut meninjau bakat cilik yang menjalani latihan bagi program pencarian bakat akuatik di kolam renang berkenaan yang dikawal selia oleh Pengarah Teknikal Skuad Terjun Negara, Bryan Nickson Lomas yang juga bekas penerjun negara.-BH Online