Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin keberadaan pelancong China dan India yang memasuki negara ini menerusi Pelan Liberalisasi Visa (PLV) sentiasa dalam pemantauan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi data biometrik yang diambil ketika mereka tiba di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata justifikasi pengenalan PLV adalah untuk membangkitkan semula ekonomi negara ini menerusi sektor pelancongan dengan kehadiran lebih ramai pelancong dari China dan India.
“Dalam hal ini meskipun kita boleh tarik pelabur, langkah itu akan makan masa untuk membuahkan hasilnya dan kita juga boleh mempermudah dan merancakkan sektor pelancongan menerusi PLV.
“Jadi kita tengok berdasarkan data pelancong dari Asia Tenggara (ASEAN) yang masuk ke Malaysia adalah nombor satu dari Singapura diikuti Thailand, manakala data pelancong dari luar ASEAN pula ada nombor satu dari China diikuti India.
“Malah, daripada Januari tahun lalu sehingga Mac tahun ini, jumlah pelancong yang memasuki negara ini adalah sebanyak 40 juta, ini adalah rekod JIM dan daripada jumlah itu 30.5 juta memasuki negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2 dan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Pos Pintu Masuk Wang Kelian di Pos Imigresen Wang Kelian, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kebimbangan masyarakat negara ini bahawa langkah pengecualian pelbagai syarat di semua pintu masuk negara ini terhadap pelancong dari China dan India menerusi PLV hanya menyebabkan berlaku lambakan rakyat negara berkenaan yang menyalahgunakan kemudahan terbabit dengan tinggal lebih masa di negara ini.
Berdasarkan PLV itu, pelancong China dan India kini diberi pengecualian visa selama 30 hari mulai 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024.
Demi memastikan kelancaran proses pemeriksaan Imigresen di pintu masuk berjalan lancar, petugas imigresen diberi arahan tiada keperluan untuk menyoal siasat pelancong dengan mengambil masa yang terlalu lama, tiada keperluan untuk pelancong dari China dan India menunjukkan bukti kemudahan tempat tinggal sepanjang berada di negara ini.
Selain itu, mereka juga tidak perlu mengemukakan pas masuk serta bukti kemampuan kewangan atau wang sara diri sepanjang berada di negara ini.
Saifuddin Nasution berkata, apabila ada kemasukan pelancong dari kedua-dua negara terbabit, ia memberi nilai tambah kepada ekonomi negara terutama apabila pelancong China dan India ini membelanjakan wang mereka ketika bercuti di negara ini.
“Jadi apabila dikatakan bahawa mereka ini masuk tetapi tidak keluar selepas itu, saya nak sebut di sini bahawa pelancong China yang masuk ke negara ini untuk tiga bulan pertama tahun ini adalah seramai 950,000 orang tetapi yang ditahan atau tidak dibenarkan masuk ke negara ini disebabkan senarai hitam kerana kesalahan imigresen dan sebagainya sekitar 0.3 peratus sahaja daripada jumlah itu.
“Bermaksud di sini sekiranya, dia (pelancong China) ini mengikut peraturan, maka kita akan benarkan masuk dan angka yang tidak dibenarkan masuk pun hanyalah sekitar 0.3 peratus sahaja,” katanya.
Beliau menegaskan, meskipun PLV dilaksanakan itu adalah untuk memberi kemudahan kepada pelancong negara berkenaan, namun kerajaan memberi jaminan tidak berkompromi terutama dalam soal keselamatan negara.
“PLV ini bermaksud pelancong China dan India yang memasuki negara ini tidak perlukan visa dan boleh berada di negara ini selama 30 hari.
“Jadi apabila didapati setelah 30 hari, mereka masih terus tinggal di negara ini, kita mempunyai rekod di mana kita boleh meneliti keberadaan mereka secara terperinci kerana apabila mereka tiba ke negara ini, mereka perlu mengisi ‘Malaysia Digital Arrival Card’.
“Apabila mereka tidak keluar juga dari negara ini (tinggal lebih masa), maka kita boleh kesan mereka menerusi biometrik,” katanya.-BH Online