Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang bukti menunjukkan berlakunya pemindahan dari kapal ke kapal membabitkan minyak Iran yang disekat di luar perairan Malaysia.
Perdana Menteri berkata demikian mengulas kebimbangan dibangkitkan Washington berhubung tindakan Iran yang didakwa mereka menggunakan penyedia perkhidmatan Malaysia untuk memindah minyaknya.
“Tiada satu pun bukti menunjukkan berlakunya pemindahan kapal ke kapal… kita tak ada kapasiti untuk memantau atau mengawasi perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ‘In Conversation With the Prime Minister of Malaysia’ yang menjadi sebahagian pengisian DEF 2024, dikendalikan Ketua Koresponden Antarabangsa Asia Tenggara Bloomberg Television, Haslinda Amin sebagai moderator.
Terdahulu Haslinda membangkitkan mengenai kebimbangan Washington berhubung penyaluran dana dari Asia Tenggara kepada Hamas.
Minggu lalu, seorang pegawai kanan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) berkata negaranya melihat kapasiti Iran untuk memindahkan minyak bergantung pada penyedia perkhidmatan di Malaysia.
Pegawai itu juga berkata AS cuba menghalang Malaysia daripada menjadi tempat untuk Hamas mengumpul dana dan memindahkan wang.
Sebelum ini, dilaporkan AS percaya perairan Malaysia dan sekitar rantau Asia Tenggara digunakan sebagai lokasi untuk minyak Iran dijual kepada pembelinya menerusi urusan pemindahan minyak dari kapal ke kapal bagi mengelak sekatan dilakukan AS ke atas negara teluk itu.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut dilapor bertemu Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan AS, Brian Nelson dan delegasinya pada 9 Mei lalu susulan perkara itu.
Saifuddin berkata, pihaknya mendengar pembentangan dan penjelasan dikemukakan Nelson mengenai dakwaan wujud aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas melalui sistem kewangan Malaysia itu dengan menganggapnya sebagai maklumat sebelah pihak.-BH Online