Kementerian Dalam Negeri memberi jaminan aspek keselamatan pada tahap tertinggi bagi memastikan kelancaran proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, pada Sabtu ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sejumlah pasukan polis sudah diatur gerakkan bagi mengawal perjalanan proses berkenaan dengan angkanya tidak akan didedahkan kepada umum.null
Beliau berkata, perbincangan mengenai penyelarasan aspek keselamatan ketika hari pengundian dan tempoh berkempen juga sudah diadakan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, petang semalam.
“Pasukan polis sudah ‘deploy’ (diatur gerakkan) dengan kekuatan dianggap munasabah dan mencukupi serta angkanya tidak boleh didedahkan.
“Kita juga dapati bilangan aduan sepanjang tempoh berkempen yang sudah memasuki fasa kedua adalah sangat sedikit. Kalau ada pun, satu kes berkaitan logo UMNO dan DAP digabungkan dan menjadi ‘basis’ (asas) siasatan pihak polis.
“(Aduan) lain kita hampir tiada laporan yang dianggap mencemaskan. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh pun menyebut cuma ada satu atau dua perkara (aduan) dan ini adalah hasil pemantauan berterusan,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Isu Semasa di sini, malam tadi.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon Kerajaan Perpaduan dari DAP, Pang Sock Tao; calon Perikatan Nasional (PN) dari BERSATU, Khairul Azhari Saut; Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang diwakili Hafizah Zainuddin serta calon Bebas, Nyau Ke Xin.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, akibat kanser pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini, dilapor memaklumkan seramai 760 petugas dilantik untuk mengendalikan proses PRK DUN Kuala Kubu Bharu, manakala 18 pusat mengundi biasa, membabitkan 74 tempat mengundi atau saluran dan dua pusat mengundi awal (tiga tempat mengundi atau saluran awal) akan digunakan.
Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya akan digunakan untuk PRK DUN Kuala Kubu Bharu adalah daftar pemilih terkini hingga Daftar Pemilih Tambahan Februari 2024 yang dikemas kini sehingga 25 Mac lalu.
Ia membabitkan 40,226 orang pemilih, masing-masing 39,362 pengundi biasa, manakala tentera dan pasangan (238), polis (625) dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.
Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) memaklumkan, komitmen pasukan polis bagi menjamin tahap keselamatan berada pada tahap tertinggi berterusan hingga proses pengundian selesai.
“Ia bagi memastikan pemilih di Kuala Kubu Bharu dapat keluar (mengundi) dengan perasaan aman, tenang dan tanpa rasa bimbang. Ini adalah mesej pertama (disampaikan) kepada Razarudin, petang semalam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebarang keputusan mengenai penyediaan perkhidmatan pengangkutan percuma untuk mengambil dan menghantar pulang pengundi di Kuala Kubu Bharu akan dimuktamadkan jawatankuasa jentera pilihan raya.
“Saya hadir (ke Ceramah Isu Semasa, malam tadi) sebagai jentera untuk membantu kempen (PH). Kita ada jawatankuasa jentera pilihan raya, jadi saya serahkan kepada mereka (untuk menetapkan) perancangan yang sesuai,” kata Setiausaha Agung PKR itu.-BH Online