Sorting by

×

Kerjasama strategik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berupaya memangkinkan industri Malaysia terutama dalam menyokong pembangunan serta penyaluran bakat yang lebih berdaya di peringkat global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tenaga kerja yang terlatih dan berdaya saing adalah kunci kepada kejayaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

“Kekurangan bakat berkemahiran menjadi isu berterusan dalam kalangan pelabur kita, dalam dan luar negara.

“Tanpa penyelesaian holistik mengenai pembangunan dan penawaran bakat, Malaysia tidak akan dapat mencapai kekompleksan ekonomi, ekosistem perindustrian berteknologi tinggi, sasaran sifar bersih atau keselamatan ekonomi yang ditetapkan menerusi NIMP 2030,” katanya pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT dan MIDA di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Tengku Zafrul berkata MoU itu selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI, NIMP 2030 dan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022-2025 yang menyasarkan penciptaan graduan dan bakat mahir bagi menobatkan Malaysia dalam kalangan 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2033.

Beliau berkata pelaburan dalam sektor perindustrian merupakan antara pencipta pekerjaan yang paling stabil untuk sesebuah negara.

“Ini merupakan modal yang perlahan namun lama bertahan yang diperlukan Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata bagi tempoh 2021 hingga 2023, sebanyak 150,000 peluang pekerjaan telah dicipta melalui 2,386 projek perkilangan yang diluluskan, dengan lebih 81 peratus telah dilaksanakan dan sebahagian besar daripada peluang itu adalah untuk bakat mahir yang bergaji tinggi bagi rakyat Malaysia.

“Suka saya berkongsi bahawa bagi projek perkilangan yang telah diluluskan bagi tempoh 2021 hingga 2023, setakat ini sejumlah 3,678 atau lebih 83 peratus telah dilaksanakan, manakala 612 projek mewakili hampir 14 peratus berada di peringkat perancangan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata projek yang telah diluluskan bagi 2023, kadar pelaksanaan menunjukkan lebih 63 peratus atau 559 projek telah dilaksanakan setakat 5 Mei, 2024 meliputi projek di peringkat pengeluaran, pembinaan kilang atau pemasangan mesin/jentera.

“Lazimnya, setiap projek mengambil 18 hinga 24 bulan untuk dilaksanakan. Seterusnya, hampir 35 peratus atau 309 projek adalah di peringkat perancangan merangkumi aktiviti seperti penetapan lokasi serta perbincangan bersama pihak pemaju dan perunding.

“Hanya 1.25 peratus atau 11 projek yang masih belum dilaksanakan dan 0.45 peratus atau empat projek tidak dapat dilaksanakan atas sebab tertentu, termasuk perubahan strategi pelabur,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kadar itu amat memberangsangkan kerana pelaburan tersebut bukan seperti pasaran modal yang membolehkan kemasukan dana dengan segera namun boleh juga ditarik keluar dalam tempoh yang singkat.

Selain itu, pendekatan whole-of-nation dalam memupuk ekosistem industri yang berdaya tahan, teguh dan tersedia dengan bakat bertaraf dunia adalah penting bagi pihak kementerian, agensi kerajaan dan juga industri untuk memastikan negara terus berdaya saing dan mesra pelabur, katanya.

“Apabila kita memastikan bakat yang mantap disediakan, kita akan memperkukuh kapasiti perindustrian Malaysia, dan di sinilah kita benar-benar boleh mendorong saranan nilai kita bahawa Malaysia adalah tempat bermulanya global,” katanya.- BERNAMA