Sorting by

×

Lembaga Koko Malaysia (LKM) akan melaksanakan projek pemulihan kebun dan penanaman baharu tanaman koko kawasan seluas hampir 2,500 hektar dengan peruntukan RM9.5 juta dalam usaha meningkatkan pengeluaran komoditi itu tahun ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata koko berpotensi memberi pulangan lumayan kepada kira-kira 5,317 pekebun kecil yang merangkumi 89 peratus atau 5,445 hektar daripada kawasan tanaman koko di Malaysia.

“Saya amat menggalakkan pekebun kecil mengambil peluang ini bagi meningkatkan pengeluaran koko negara dan masa sama menjana pendapatan.

“Industri koko Malaysia melalui tempoh mencabar dalam beberapa dekad lalu apabila kejatuhan harga koko pada akhir 1980-an, selain serangan perosak ulat pengorek buah koko pada awal 1990-an.

“Selain itu, tahap pengetahuan bagi kawalan penyakit dan perosak koko pada ketika itu telah mendorong pengusaha ladang untuk beralih kepada tanaman lain.

“Justeru, bagi membangunkan semula industri koko tempatan, LKM akan melaksanakan projek pemulihan kebun koko seluas 2,126 hektar, selain projek tanaman baharu seluas 350 hektar dengan peruntukan RM9.5 juta tahun ini,” katanya selepas melancarkan produk coklat KitKat® Dark Borneo iaitu produk coklat yang menggunakan 100 peratus biji koko Malaysia daripada Sabah dan Sarawak di Pusat Inovasi dan Teknologi Koko LKM di sini, petang ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Chan Foong Hin; Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr Ramle Kasin dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols.

Mengulas lanjut, Johari berkata, keluasan tanaman koko di seluruh negara menurun daripada 193,000 hektar pada tahun 1990 kepada 6,123 hektar.

Beliau berkata, akibat kemerosotan kawasan tanaman komoditi itu, pengeluaran biji koko negara menurun dengan ketara daripada 247,000 metrik tan pada tahun 1990 kepada hanya 270 tan pada tahun 2023. 

“Apa yang berlaku hari ini, kita import koko dulu hampir 550,000 tan tetapi kita merupakan negara yang mengeksport koko dalam bentuk yang diproses (dikisar).

“Hal ini telah menempatkan kita di tangga yang ke-40 antara pengeluar koko dunia bagi tahun 2022/2023.

“Namun, di sebalik cabaran dan isu dihadapi, saya yakin industri ini mempunyai potensi amat besar untuk menjana pendapatan tinggi kepada ekonomi negara dan hal ini disokong dua faktor utama iaitu Malaysia adalah di antara pemain utama koko di dunia, terutamanya di peringkat pertengahan dan hiliran,” katanya.

Beliau berkata, pada 2023, tujuh peratus atau sebanyak 370,207 tan biji koko dikisar di Malaysia, menjadikan negara ini pengisar kelima terbesar di dunia, selepas Ivory Coast, Belanda, Indonesia dan Jerman.

Katanya, industri koko juga menyumbang sebanyak RM8.2 bilion kepada hasil eksport negara. 

“Namun begitu, angka ini tidaklah memberi gambaran yang lengkap kerana Malaysia merupakan pengimport bersih koko. 

“Pada tahun 2023, Malaysia hanya menghasilkan 270 tan biji koko, manakala mengimport sebanyak 533,000 tan biji koko.

“Pengeluaran tempatan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan industri. Biji koko yang diimport ini akan dikisar untuk tujuan eksport ataupun diproses untuk menghasilkan produk koko,” katanya.

Johari berkata, industri koko mempunyai potensi yang cukup besar adalah harga komoditi yang tinggi dan meningkat dengan mendadak sebanyak 200 peratus daripada sekitar RM9,000 setiap tan pada 2023 kepada lebih RM28,000 bagi setiap tan pada April tahun ini.

“Pertubuhan Koko Antarabangsa (ICCO) menjangkakan harga ini dijangka kekal tinggi dan konsisten bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.-BH Online