Sorting by

×

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar permintaan kerajaan negeri berkaitan projek pembangunan di Kedah.

Beliau berkata, pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah yang berlangsung hari ini, Perdana Menteri bukan saja memberi maklum balas yang baik terhadap permintaan kerajaan negeri, malah turut memberi kelulusan segera kepada beberapa projek.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang turun ke negeri-negeri dan hari ini di Kedah agak harmoni, dan kita terus sampaikan hasrat kita kepada Perdana Menteri.

“Respons yang baik daripada Perdana Menteri… mana permintaan yang boleh lulus, beliau terus lulus. Mana yang perlu kepada perincian daripada kementerian, beliau tanya terus kepada Ketua Setiausaha kementerian terbabit,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Wisma Darul Aman, di sini.

Muhammad Sanusi memaklumkan, lapan projek dikemukakan untuk persetujuan Kerajaan Persekutuan, selain berbelas lagi dimasukkan ke dalam senarai.

Katanya, antara projek yang diutarakan oleh kerajaan negeri untuk kelulusan dan bantuan fiskal daripada Kerajaan Persekutuan ialah kemudahan infra di kawasan kampung tersusun serta bantuan pengekalan tanah sawah.

Selain itu, beliau berkata, turut dibincangkan penyelesaian terhadap isu penempatan penduduk di Kampung Bukit Malut, Langkawi, dan kerajaan negeri bersedia membantu Kerajaan Persekutuan.

“Cadangan daripada Menteri (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) tadi ada… beliau mencadangkan supaya disegerakan penyelesaian isu di Bukit Malut melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, kita sudah bersedia,” katanya.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa lebih sejam mendengar taklimat pembangunan negeri pada mesyuarat itu yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; dan Saifuddin Nasution juga hadir. – BERNAMA