Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjadi ketumbukan penjawat awam paling besar menerima kenaikan gaji, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata seramai 142,000 anggota dan kakitangan sokongan PDRM akan mendapat manfaat kenaikan gaji itu pada Disember nanti.
“Badan uniform dan kumpulan sokongan ini menjadi satu kelompok besar yang akan menikmati manfaat daripada pengumuman oleh Perdana Menteri.
“Jabatan Perkhidmatan Awam juga sedang memperincikan dan memperhalusi perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika hadir di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.
Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan berita gembira bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus yang merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, KDN sentiasa akan memperjuangkan isu kebajikan anggota dan pegawai PDRM dan salah satunya adalah berkaitan semakan gaji, yang akan diperincikan dalam pembentangan belanjawanakan datang.
“Kita menambah baik setiap aspek yang ada termasuklah pembangunan prasarana membabitkan komplek polis dan ibu pejabat polis (IPD) yang sedang rancang berjalan di seluruh negara.
“Malah tidak ketinggalan, prasarana lain daripada menaik taraf longkang kepada tangki air juga diberi perhatian utama.
“Komitmen saya dan Ketua Setiausaha kementerian akan berterusan dalam isu kebajikan PDRM serta akan menjadi keutamaan kami,” katanya.-BH Online