Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perak dipilih sebagai tuan rumah sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan pada 4 Mei depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka merasmikan majlis sambutan itu yang dijadualkan berlangsung di taman tema Lost World of Tambun.

Katanya, pelbagai program dan aktiviti menarik akan diadakan sempena sambutan berkenaan, termasuk pertunjukan bom air dan helikopter serta kemunculan ‘abang bomba bertubuh sado’.null

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperoleh dana berjumlah RM267 juta daripada kerajaan untuk perolehan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), termasuk pembelian 150 unit Compact Fire Rescue Tender (CFRT) yang canggih bernilai RM147 juta.

“Peruntukan ini adalah tertinggi dalam sejarah untuk perolehan pasukan JBPM, sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada Wira Merah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Media anjuran Ibu Pejabat DAP Perak, di sini, malam tadi.

Selain itu, Kor Ming berkata, Perdana Menteri juga dijangka merasmikan Taman Rekreasi MADANI pertama yang telah siap sepenuhnya di Taman Woodlands, Bandar Baru Tambun, pada hari sama.

“KPKT akan memperuntukkan RM50 juta bagi membina taman rekreasi awam di seluruh negara, dan 22 taman rekreasi awam dibina di Perak membabitkan peruntukan RM11 juta,” katanya.-BERNAMA