Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Melaka tidak ada rancangan untuk menyalurkan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata tidak ada perbincangan mengenai perkara itu pada masa ini atau masa depan.null

Beliau berkata kerajaan negeri juga tidak akan mempertimbangkan permohonan itu jika ada.

“Dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mereka kini ditadbir oleh seorang Penyelaras DUN yang dilantik oleh kerajaan negeri bagi menjalankan tugas membela nasib penduduk di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan suasana politik, khususnya di Melaka sekarang, biarlah macam ini sahaja. Jika Kerajaan Persekutuan (hendak menyalurkan peruntukan kepada pembangkang) itu hak mereka, kerajaan negeri adalah hak kerajaan negeri (untuk membuat keputusan).

“Kita tidak memutuskan apa-apa bentuk bantuan untuk pembangkang, tak ada dibincangkan langsung,” katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka AIdilfitri Ketua Pemuda UMNO merangkap ADUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh di Dataran Orang Kampung, di sini malam tadi.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub yang menggesa supaya kerajaan negeri mempertimbangkan langkah sama dibuat Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan kepada semua Ahli Parlimen pembangkang.

Dr Yadzil yang juga ADUN Bemban dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri berharap peruntukan disalurkan sewajarnya kepada semua wakil rakyat pembangkang di setiap negeri.

Melaka mempunyai dua kerusi DUN dimenangi pembangkang iaitu Bemban dan Sungai Udang.

Susulan itu, kerajaan negeri melantik masing-masing seorang Penyelaras DUN bagi menjalankan tanggungjawab membangunkan kawasan, selain lantikan tambahan seorang Penyelaras di DUN Rembia.

Khamis lalu media melaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan menyalurkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat di Sri Perdana, Putrajaya, pada 17 April lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, satu draf Memorandum Persefahaman (MoU) akan dirangka terlebih dahulu sebelum dipanjangkan kepada pihak pembangkang sebagai langkah untuk perundingan seterusnya.-BH Online