Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) masih dalam proses mendapatkan maklumat terperinci berkenaan kartel padi dan beras di negara ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata maklumat daripada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara diperlukan sebelum bentuk siasatan dapat dirangka.

“Setakat ini, kita sedang mendapatkan maklumat daripada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara dibawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Sebagaimana yang saya maklumkan sebelum ini, walaupun ada sedikit kekeliruan, bila orang sebut padi dan beras, orang akan ingat KPDN. Seperti yang kita sedia maklum, Akta 522 (Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994) adalah dibawah bidang kuasa KPKM.

“Memang ada (diterima) aduan (berkaitan kartel padi dan beras). Maka Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah mengambil tindakan atas aduan tersebut dan kita sedang mendapatkan maklumat itu.

“Dengan adanya maklumat tersebut, kita akan merangka bentuk siasatan yang akan dilaksanakan,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ahli Parlimen Papar dan ADUN Kawang 2024 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan KPKM menegaskan tidak akan melindungi jika ada mana-mana pihak yang didapati terbabit dengan aktiviti kartel padi dan beras di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya sentiasa bersedia menyalurkan sebarang maklumat kepada MyCC sekiranya benar wujud kartel padi serta beras dan tidak akan mencampuri sebarang urusan siasatan oleh MyCC.

Armizan berkata KPKM juga sudah memberikan komitmen penuh kepada pihaknya agar siasatan dapat dilaksanakan dengan telus.-BH Online