Sebarang keputusan berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak mahu mencampuri urusan berkenaan, biarpun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa.
“Saya sebutkan, ini menyinggung peranan Lembaga Pengampunan dan wewenang Agong. Itu jawapan bagi saya mengikut perbincangan dengan Peguam Negara dan maklumat dari Sultan dan Agong, itu sebaiknya.
“Kita tak cuba meringankan apa-apa keputusan yang dibuat hakim. Tapi cara kita lakukan itu yang tidak disenangi sesetengah pihak dałam parti sekutu atau sebaliknya, dalam kalangan yang lain di luar.
“Itu bukan kita persoalkan. Tapi pendirian kita tuntas, bahawa keputusan mesti dibuat dałam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan keputusan muktamad (oleh) Agong (mesti juga) dałam mesyuarat Lembaga Pengampunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan sejak merdeka hingga kini, kerajaan tidak pernah membuat sebarang keputusan yang boleh menyinggung Agong atau Raja-Raja Melayu.
“Jangan kerana mahu teruskan satu agenda yang disenangi oleh kamu, sehingga merobohkan kerajaan yang ada. Jadi harus ada kebijaksanaan dalam menangani permasalahan ini.
“Tanya saya, ya.. dalam Kabinet, dalam kerajaan, rakan-rakan Jemaah Menteri pun ramai di sini, kita tidak ada masalah itu. Tapi yang di luar, ada suara yang tidak semestinya mewakili suara pimpinan.
“Jadi saya harus akui, walaupun ada hal yang mesti dirundingkan di luar Jemaah Menteri, tetapi setakat ini, belum ada keretakan kecil sekali pun sama ada Pakatan Harapan (PH), UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta Sabah dan Sarawak,” katanya.
Pada 1 April lalu, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri terbabit menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.
Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.-BH Online