Sebanyak 36 laporan polis diterima berhubung tindakan individu yang memuat naik entri di media sosialnya yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Jumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, berkata laporan polis itu diterima daripada pelbagai pihak termasuk parti politik dan perseorangan.
“Polis Johor menerima 36 laporan polis berhubung kes individu didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, setakat ini.
“Kesemua pengadu (babitkan 36 laporan polis) telah dirakam percakapan mereka dengan semua rakaman berkenaan sudah diserahkan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, bagi tindakan susulan.
“Siasatan telah dijalankan oleh pihak USJT Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam, Pemuda UMNO Johor dilaporkan mengarahkan 26 bahagiannya sayap itu di negeri ini membuat laporan polis terhadap individu yang memuat naik entri di media sosialnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Jumaat lalu.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros, dilaporkan berkata langkah itu bagi menggesa siasatan dibuat terhadap individu berkenaan yang dipercayai pemimpin muda PAS.
Ia susulan gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh kelmarin, yang menggesa siasatan dibuat terhadap individu berkenaan yang dilihat bertindak biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dalam entri di akaun Facebook yang dipercayai sudah dimuat turun itu, antara lain individu berkenaan menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat di negeri ini.
Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu berkenaan dikenali sebagai Hezry Yasin, didakwa sebagai Pengarah Media Baharu Pemuda PAS Selangor.
Bagaimanapun, Hezry yang didakwa memuat naik entri yang menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi akaun Facebooknya, hingga mencetuskan kemarahan ramai, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, semalam.-BH Online