Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tahap kesihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika ini berada dalam keadaan baik, biarpun dipenuhi jadual padat sebagai pemimpin utama negara. 

Susulan itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim berkata, biarpun ada pihak mempersoalkan tahap kesihatan Perdana Menteri, ia tidak lebih sekadar naratif tidak berasas untuk tujuan menyebar fitnah.

“Sebagai antara individu yang dekat dengan Perdana Menteri, saya mengesahkan keadaan dan tahap kesihatan beliau jauh lebih baik daripada sebahagian kita, meskipun diasak dengan jadual yang terlalu padat.

“Untuk sosok yang berumur 76 tahun seperti beliau, adalah biasa untuk kadangkala mengalami sedikit demam atau alahan, namun kecekalan, semangat, ketangkasan dan kecerdasan beliau untuk bekerja terus mengampuh, malah untuk kami yang berada di barisan staf serta yang jauh lebih muda ini untuk mengejar ‘pace’ (kepantasan) kerjanya juga kadang-kadang tertinggal,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Kamil mengulas mengenai naratif fitnah yang cuba dilemparkan beberapa blogger pembangkang berkait tahap kesihatan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Kamil berkata, sungguhpun dilempar pelbagai fitnah, Anwar tidak berganjak daripada tekadnya untuk merubah negara dan perubahan itu satu proses yang mesti ditelan meskipun memakan masa dan menerima kecaman. 

Beliau juga kesal dengan sikap beberapa pihak yang secara berterusan menyebar fitnah terutama ketika umat Islam baru selesai menyambut Ramadan dan sedang meraikan Aidilfitri.

“Namun, ruang suci ini terus dirempuh dengan hamburan politik yang berbaur fitnah dan rekayasa oleh beberapa watak yang kita sedia maklum mempunyai dendam yang tidak berkesudahan terhadap Perdana Menteri yang kini gigih mengemudi bahtera negara ke mercu lebih tinggi. 

“Lebih parah, naratif longkang dan rendah akal ini dipanjangkan oleh sebilangan pendukung gerombolan yang mahu menegakkan Islam. 

“Ini ternyata mendukacitakan tatkala Islam melarang dan mencegah umatnya dari sebarang unsur fitnah, serta Islam bertegas keras bahawa memfitnah mana-mana insan adalah umpama membunuh insan itu. Penegasan ini juga tidak sampai ke benak sebilangan mereka,” katanya. 

Justeru, Kamil menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak terhadap pemfitnah dan memberi ruang sebebas mungkin kepada pengkritik yang jujur kerana hak demokratik tidak mencakup amalan memfitnah dan rekayasa.-BH Online