Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemuda UMNO akan membuat laporan polis malam ini bagi menggesa siasatan dibuat ke atas seorang individu dipercayai pemimpin muda PAS yang memuat naik entri di media sosialnya didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Ketuanya, Dr Muhammad Akmal Saleh, berkata entri dimuat naik individu berkenaan dianggap satu tindakan melampau dan keterlaluan.

“Malam ini saya sudah minta kepimpinan Pemuda UMNO Johor untuk membuat laporan polis atas tuduhan melampau yang sudah dilemparkan oleh individu ini.

“Kami tetap akan mempertahankan agama, bangsa dan raja kami tidak kira siapa pun kamu,” katanya di Facebook beliau malam ini.

Beliau berkata, entri dimuat naik itu juga jelas satu cubaan memfitnah seolah-olah Yang di-Pertuan Agong tidak meletakkan agama di tempat pertama dan ini satu penghinaan pada institusi raja selaku ketua umat Islam di negara ini.

“Bagaimana ummah ingin kuat jika masih ada sesama kita yang cuba memecahbelahkan dengan fitnah sesama sendiri,” katanya. 

Dalam entri yang dipercayai sudah dimuat turun individu terbabit, antara lain beliau menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk sultan dan Agong ketika solat Jumaat semalam. 

Beliau juga mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuang serta mempertahan Islam ketika agama diancam. 

Berdasarkan perkongsian di media sosial, individu berkenaan yang dikenali sebagai Hezry Yasin didakwa sebagai Pengarah Media Baharu Pemuda PAS Selangor.-BH Online