Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia Airlines (MAS) akan mengubah laluan penerbangan antara Kuala Lumpur dan London untuk mengelak ruang udara Iran berikutan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.

“Kami mengubah haluan dan mengelak ruang udara Iran,” kata syarikat penerbangan nasional itu kepada BERNAMA.

MAS, Air India, Qantas Australia dan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa adalah antara syarikat penerbangan pertama yang mengubah laluan penerbangan buat sementara waktu kerana bimbang Iran akan menyerang Israel. 

German Press Agency (dpa) melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden berkata pada Jumaat, beliau berasa Iran akan melancarkan serangan terhadap Israel ‘lebih cepat dari jangkaan’.

Biden bagaimanapun enggan menghuraikan perisikan rahsia Washington mengenai rancangan Tehran, lapor agensi itu.

Ancaman Iran terhadap Israel semakin meningkat berikutan serangan udara ke atas perkarangan kedutaan Iran di Syria pada 1 April lalu yang mengorbankan beberapa jeneral tentera.

Terdapat laporan bahawa Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) telah merampas sebuah kapal kontena yang berkaitan dengan Israel di kawasan teluk.

Tiada laluan semasa AirAsia menggunakan ruang udara Iran. — BERNAMA