Perdana Menteri berkata beliau tidak akan melayan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggelar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai “bodoh” dan menjadi punca keadaan ekonomi lemah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bukan konteks yang betul bagi Kerajaan Perpaduan.
“Saya tidak melayan kenyataan seperti itu. Pada fikiran saya, ia bukan konteks yang betul bagi Kerajaan Perpaduan kita.
“Kita harus bekerjasama,” katanya kepada media selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa dan Majlis Sambutan Kelahiran Dr Ambedkar ke-133 tahun di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Sebelum ini, Muhamad Akmal berkata, ketika zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, ekonomi tetap naik dengan baik walaupun ada kempen boikot dilakukan.
Muhamad Akmal Saleh berkata, ekonomi negara menjadi teruk sebab ada menteri yang macam Kor Ming.
Beliau berkata demikian selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu membuat kenyataan bahawa akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, pekerja-pekerja terpaksa menanggung sengsara.
Muhamad Akmal melancarkan boikot kepada KK Mart selepas pasar raya serbaneka itu menjual stoking tertera kalimah Allah.-BH Online