Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perbincangan Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini memberi tumpuan kepada memuktamadkan mekanisme bagi membolehkan kerajaan Sarawak membangunkan projek Persekutuan yang terbengkalai.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata ia khususnya sebagai usaha mempercepatkan projek pembinaan fasiliti kesihatan dan sekolah.

Katanya, turut menjadi fokus perbincangan kini ialah mekanisme pembayaran balik kepada kerajaan Sarawak oleh kerajaan Persekutuan selepas projek itu dilaksanakan.

“Perbincangan peringkat pegawai Jawatankuasa Teknikal MA63 masih belum muktamad sepenuhnya kerana masih ada beberapa perkara yang sedang dikaji khususnya mekanisme bagi membolehkan kerajaan Sarawak melaksanakan projek terbengkalai dan mekanisme pembayaran balik oleh kerajaan Persekutuan.

null

“Ini kerana hal ehwal pendidikan dan kesihatan masih menjadi tanggungjawab sepenuhnya kerajaan Persekutuan. Namun kita sudah ada kerjasama yang membolehkan Sarawak mendahulukan dana negeri bagi melaksanakan projek Persekutuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Kedua Aidilfitri anjurannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak bersetuju mendahulukan dana sendiri bagi melaksanakan dua projek penting iaitu klinik termasuk kemudahan kediaman kakitangan serta sekolah dan kuarters guru.

Katanya, ia sudah dipersetujui pada dasarnya dalam perbincangan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Perkara penting di peringkat pegawai ialah perbincangan mengenai mekanisme pembayaran balik antara Kementerian Kewangan dengan pihak Sarawak.

“Sekarang sudah ada jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KSU) dan KSU Kementerian Pendidikan Persekutuan,” katanya.

Mengenai perkembangan pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings oleh kerajaan Sarawak, Abang Johari berkata pada prinsipnya perbincangan antara Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Aviation Group (MAG) iaitu pemilik Penerbangan Malaysia (MAS), Firefly dan MASwings sudah selesai.

“Apa yang perlu sekarang hanyalah perkara teknikal yang saya yakin akan selesai pada Ogos ini atau selewat-lewatnya hujung tahun ini.

“Insya-Allah, Sarawak akan ada syarikat penerbangan sendiri pada 2025. Namanya sudah ada tetapi ia akan diumumkan kemudian,” katanya.-BH Online