Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bermula dengan program memberi khidmat nasihat berkaitan jagaan rawatan kucing pada 2013, bekas pembantu veterinar kini bergelar usahawan dan mengeluarkan produk inovasi berasaskan minyak kelapa dara bagi membantu menangani masalah penyakit yang boleh membawa kematian haiwan serta ternakan.

Siti Sofiah Ramli, 33, berkata masalah penyakit melanda haiwan dan ternakan boleh menyebabkan kadar kematian tinggi, sekali gus membawa kerugian kepada penternak.

Menyedari hal itu, beliau memperkenalkan inovasi multi vitamin haiwan ternakan dinamakan, Vetomin-M.

Penerima Anugerah Usahawan Penyelidik 2023 itu berkata, masalah seumpama itu bukan sahaja merugikan penternak, tetapi turut memberi impak besar terhadap usaha memastikan sekuriti makanan terjaga.

“Saya bermula dengan ladang kecil ternakan ayam kampung sendiri secara usaha sama di Kuala Kangsar dalam kapasiti bilangan mencecah 10,000 ayam. Saya dapati kebanyakan masalah sering melanda penternak ayam adalah penyakit mata, virus, dan stres yang boleh menyebabkan haiwan itu mati.

“Penyakit seperti Newcastle Disease (penyakit sampar ayam) misalnya, boleh menyebabkan penternak kehilangan 30 hingga 40 peratus bekalan bagi sekali tuaian di ladang, yang mana ia pastinya mengurangkan perolehan pendapatan mereka dan mengganggu bekalan dalam pasaran,” katanya kepada BH.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat Medic Pets International Sdn Bhd itu berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berperanan penting dalam memberi bimbingan bagi penghasilan produk inovasi berkenaan yang dihasilkan tanpa penggunaan dadah atau bahan kimia.

“Sebagai usahawan belia asas tani yang berdaftar dan di bawah bimbingan MARDI, formulasi minyak kelapa itu diproses di kilang kepunyaan MARDI. MARDI banyak membantu dalam pembangunan syarikat kami dan ia ditambah dengan keupayaan pasukan syarikat kami yang di ungguli beberapa penggiat veterinar.

“Vetomin-M ini dibekalkan kepada penternak terutama di Perak, Selangor dan Johor serta dijual khas secara B2B atau bisnes ke bisnes, iaitu bukan secara terus kepada pengguna.

Katanya, pada masa sama, bantuan pinjaman tanpa faedah RM50,000 diperoleh melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) empat tahun lalu membantu memasarkan produk keluarannya menembusi pasaran di Brunei.

“Dengan pinjaman Perak SADC ini saya kembangkan dari segi pembotolan, label, atau pembungkusan.

“Pada mulanya, syarikat hanya keluarkan produk untuk haiwan peliharaan, kemudian ia dikembangkan kepada haiwan ternakan khususnya selepas memperoleh pinjaman Perak SADC itu.

“Apa yang mendorong untuk saya meminjam Perak SADC adalah kerana ia menawarkan pinjaman tanpa faedah.

“Kedua, saya diberi pelbagai sokongan untuk memajukan syarikat seperti berpeluang sertai pelbagai acara atau karnival. Semua ini penting untuk produk syarikat berkembang seperti sekarang, termasuk menembusi pasaran di Brunei,” katanya.

Sekuriti makanan diletakkan sebagai satu daripada enam agenda utama pelan pembangunan negeri, Pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan Perak SADC serta MARDI yang kedua-duanya diletakkan sebagai antara agensi yang menerajuinya.-BH Online