Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Aliran masuk dana asing kembali ke Malaysia pada Mac apabila pelabur asing bertukar menjadi pembeli bersih sekuriti hutang negara bernilai RM1.7 bilion buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, dipacu terutamanya oleh Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII), demikian menurut BIMB Securities Research.

Penganalisisnya, Imran Nurginias Ibrahim, berkata aliran masuk bersih itu membolehkan pegangan hutang oleh pelabur asing meningkat kepada RM265.8 bilion bulan lalu, menjadikan bahagiannya kepada hutang keseluruhan kepada 13 peratus.

“Melihat kepada butiran, pelabur asing membeli bersih MGS sebanyak RM800 juta, manakala GII merekodkan aliran masuk lebih besar sebanyak RM1.4 bilion.

“Dengan itu, pegangan asing bon kerajaan (MGS+GII) meningkat sebanyak RM2.2 bilion kepada RM251.7 bilion atau 21.7 peratus daripada jumlah bon tertunggak.

“Secara individu, pelabur asing memegang RM202.4 bilion MGS, atau 33.2 peratus daripada jumlah MGS terkumpul dan RM49.3 bilion GII atau 8.9 peratus daripada jumlah GII terkumpul setakat akhir Mac,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu, Imran berkata, pelabur asing membeli Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) sebanyak RM100 juta tetapi menjual Sekuriti Hutang Swasta (PDS) termasuk Sukuk Persendirian sebanyak RM200 juta.

“Pada akhir Mac 2024, pelabur asing membeli RM1.7 bilion bon Malaysia.

“Sementara itu, pelabur asing bertukar menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia selepas empat bulan berturut-turut aliran masuk dengan penjualan RM2.9 bilion ekuiti pada Mac.

“Hasilnya, Malaysia mencatatkan keseluruhan aliran keluar portfolio asing RM1.2 bilion pada Mac 2024. Secara kumulatif, aliran keluar portfolio asing Januari hingga Mac berjumlah RM5.5 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jualan asing bagi ekuiti Malaysia terkumpul kepada RM900 tempoh tiga bulanpertama 2024, manakala rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) merosot sebanyak AS$500 juta atau 0.4 peratus bulan ke bulan kepada RM113.8 bilion setakat akhir Mac 2024.

“Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh pengurangan sedikit dalam rizab mata wang asing (AS$500 juta hingga AS$101.3 bilion) yang jatuh untuk bulan kedua berturut-turut,: katanya.

Dari segi ringgit, bagaimanapun, Imran berkata, nilai rizab BNM meningkat sebanyak RM14.6 bilion kepada RM539 bilion.

“Rizab semasa adalah mencukupi untuk membiayai 5.6 bulan import barangan dan perkhidmatan dan 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” katanya 

Menuju ke hadapan, beliau berkata, BIMB Research Securities sedikit positif terhadap aliran asing keseluruhan tahun ini, dengan mengandaikan pelonggaran kadar faedah Rizab Persekitaran (Fed) pada separuh kedua tahun ini.

“Dengan BNM tidak mungkin mengubah pendirian dasar monetarinya dalam masa terdekat, bon tempatan kekurangan pemangkin,” katanya.-BH Online