Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) memperkenalkan dua insentif baharu untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam pertanian huluan dan perniagaan bioekonomi untuk membantu meningkatkan keterjaminan makanan negara.

Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan, insentif baharu itu merupakan pelaburan pada kadar pembiayaan sifar peratus dalam kempen pembiayaan rakan setara (P2P) yang layak dan pendapatan dividen terdahulu daripada pelaburan dalam kempen pendanaan awam ekuiti (ECF) yang layak.

Insentif itu diumumkan pada Hari Terbuka MyCIF yang diadakan hari ini, katanya.

MyCIF, inisiatif yang ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Belanjawan 2019 dan ditadbir oleh SC, melabur bersama dalam PMKS dan perusahaan sosial.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kerajaan mempunyai komitmen yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan sektor yang kurang mendapat perkhidmatan dan strategik.

“Membiayai perniagaan huluan penting untuk memacu inovasi, mengekalkan kestabilan rantaian bekalan, menggalakkan pembangunan ekonomi dan memudahkan kemampanan dalam sektor pertanian dan bioekonomi.

“Dengan menyokong perniagaan ini, MyCIF boleh memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan dan kemampanan keterjaminan makanan negara,” katanya.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, berkata Malaysia merupakan negara pertama di rantau ini yang menggunakan model pelaburan bersama untuk platform kewangan alternatif.

“MyCIF telah menjadi pemangkin pertumbuhan yang penting untuk segmen ECF dan P2P. Industri telah berkembang dengan pesat sejak 2018 dan telah membiayai lebih 15,000 PMKS.

“Ia menyokong pertumbuhan perniagaan dan membolehkan pendigitalan dengan melaksanakan nisbah pelaburan bersama pelepasan sementara sebanyak 1:2 semasa pandemik, menyebabkan bahagian pelaburannya daripada jumlah dana yang diraih meningkat kepada 23 peratus pada 2020,” katanya.-BERNAMA