Penjawat awam dijangka menerima kenaikan gaji sebelum akhir tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata ketika ini kerajaan sedang mencari jalan untuk menaikkan gaji penjawat awam yang sekian lama tidak dinaikkan.
Katanya, perkara itu diteliti kerana beliau mendengar keluhan orang ramai khususnya penjawat awam.
“Baru-baru ini, kita bagi RM2,000 kepada penjawat awam dan sepatutnya ia cukuplah sehingga raya tetapi saya dengar (keluhan) dan atas itu kita beri lagi tambahan (RM500).
“Dalam tahun ini, kita juga akan cari jalan untuk naikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun.
“Kenapa (gaji) tak naik tahun 2020, tak naik 2021 dan tak naik 2022 dan nak tunggu kita baru naik. Itu tidak mengapa sebab kita dengar keluhan orang ramai dan Alhamdulillah berita baik kita umumkan dalam beberapa bulan akan datang selewat-lewatnya pada Belanjawan (2025),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani di Pusat Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau meminta rakyat meneliti ucapan Belanjawan 2025 sama ada pengumuman berhubung kenaikan gaji terbabit akan dibuat ketika itu.
“Saya tidak akan beritahu bila saya akan umum. Oleh itu dengar sampai habis (pembentangan belanjawan) itu nanti,” katanya.
Terdahulu, Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat dilaporkan berkata, kedudukan gaji penjawat awam pada masa ini dilihat tidak mampu menampung beban perbelanjaan, susulan peningkatan kos sara hidup yang semakin ketara.
Beliau berkata, justeru langkah menaikkan gaji penjawat awam wajar dilaksanakan segera tanpa perlu menunggu pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).-BH Online