Kenyataan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) berkait pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bukan hanya mengelirukan, malah boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata adalah tidak wajar untuk pihak terbabit menganggap pindaan Akta 355 itu sebagai tidak berperlembagaan dan bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, beliau menyarankan semua pihak merujuk Fasal (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memahami isu berkenaan secara tuntas, yang mana selaras peruntukan itu Mahkamah Syariah telah ditubuhkan melalui akta/enakmen/ordinan di negeri-negeri.
“Bagi maksud menangani kesalahan di bawah hukum syarak, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas mereka yang beragama Islam dan hanya berkenaan dengan semua perkara yang termasuk dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan setakat yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan sebagaimana dinyatakan dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan,” katanya melalui kenyataan.
Selasa lalu, MCCBCHST dilaporkan beranggapan cadangan pindaan Akta 355 tidak berperlembagaan dan bertentangan struktur asas Perlembagaan, atas alasan kesalahan jenayah berkaitan sudah termasuk dalam undang-undang jenayah sedia ada, sebagaimana disenaraikan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kenyataan itu mengundang reaksi pelbagai pihak antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memaklumkan percanggahan atau polemik undang-undang berkaitan cadangan pindaan Akta 355 tidak berkaitan sama sekali dengan kedudukan serta peranan sah MCCBCHST sebagai sebuah majlis perundingan agama.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga berkata, persoalan dibangkitkan majlis itu juga tidak menunjukkan sebarang bukti atau contoh bagaimana pentadbiran atau pindaan undang-undang Islam itu boleh memberi kesan ke atas agama atau amalan agama-agama bukan Islam di negara ini.
Dalam pada itu Mohd Na’im berkata, cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bertujuan meningkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dengan menaikkan kadar hukuman.
Ketika ini, hukuman hanya terhad kepada pemenjaraan tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi enam kali, atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman itu.
“Apa jua cadangan pindaan dibuat kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak akan mengubah kuasa perundangan yang telah pun diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada Badan Perundangan Negeri.
“Oleh itu, semua pihak digesa tidak memberikan sebarang kenyataan bersifat spekulatif dan mendahului berhubung cadangan pindaan akta ini, tatkala ia belum dibentangkan di Parlimen,” katanya.-BH Online