UMNO akan memberikan bantuan guaman kepada Ketua Pemuda, Dr Muhammad Akmal Saleh menerusi bantuan Peguam dan Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau sudah menghubungi Dr Akmal yang ditahan polis untuk proses mengambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
“Alhamdulillah beliau berada dalam keadaan baik dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang menjalankan tugas.
“Menurut Dr Akmal beliau dijadualkan dipanggil memberikan keterangan di Kuala Lumpur esok, namun ditahan setibanya di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
“Alhamdulillah Dr Akmal baru saja dibebaskan selepas memberikan keterangan sebentar tadi,” katanya.
Asyraf Wajdi kini berada di Makkah bersama keluarga dan dijangka menyambut Aidilfitri di sana.
Terdahulu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Dr Akmal yang juga EXCO Melaka ditahan untuk membantu siasatan di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi.
Beliau berkata, Dr Akmal ditahan sepasukan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pagi ini susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.
“Dua laporan polis yang dibuat terhadapnya adalah berhubung ucapan dan tindakannya mengenai isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart,” katanya.-BH Online