Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pemilik Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB) secara automatik bakal ditawarkan produk perancangan warisan Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) seperti hibah dan wasiat ke atas rumah berkenaan. 

Satu perjanjian berhubung kerjasama kedua-dua agensi itu termeterai di Putrajaya hari ini, disaksikan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi SPNB Datuk Husam Musa dan Pengerusi AmanahRaya, Tan Sri Idrus Harun.

Sesi menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Zahanuddin Kamarudin. 

Menerusi kenyataan bersama SPNB dan AmanahRaya, Husam berkata kerjasama itu bakal memberikan nilai tambah kepada produk SPNB terutamanya RMR dan manfaat kepada pemilik untuk memastikan kelangsungan pemilikan kediaman oleh pewaris pada masa akan datang dengan bayaran serendah RM1,000. 

“SPNB akan melaksanakan sebanyak 3,500 unit RMR pada tahun ini dan sehingga hari ini, SPNBtelah melaksanakan 66,195 unit di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu Idrus berkata inisiatif itu bertujuan memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai kepentingan melaksanakan perancangan pusaka dan pengurusan harta melalui instrumen hibah dan wasiat untuk memelihara harta pusaka bagi waris dan penerima yang berhak. 

AmanahRaya dan SPNB adalah agensi milik penuh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), Kementerian Kewangan. 

Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa. – BERNAMA