Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan melaksanakan program Ihsan Kuskop bagi membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata melalui program itu, keluarga terbabit akan dibantu dalam pelbagai program keusahawan, koperasi dan pendidikan bagi meningkatkan tahap hidup seterusnya membawa mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Beliau berkata cadangan program itu telah dibentang dan dibincang di peringkat kementerian dan akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ia dilancarkan pada separuh kedua 2024.

“Buat permulaan, kita lancar di tiga daerah di utara Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud… ini daerah rintis bagi program menoktahkan kemiskinan di peringkat kementerian. Kita juga ada yayasan, universiti dan pelbagai lagi yang kita akan gerakkan dalam usaha ini.

“Kita mahu keluarga miskin atau golongan B40 ini dibangunkan iaitu sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga mereka menjadi usahawan atau peniaga kecil. Kita ada agensi pembiayaan seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar dan Bank Rakyat untuk membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Iftar Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bersama Agensi Kuskop di Sabah, malam ini.

Ewon berkata, beliau dan Kuskop terpanggil untuk mengambil tanggungjawab itu kerana ingin menjadi sebahagian daripada penyelesaian bagi masalah kemiskinan di Sabah selain tidak mahu menjadi pemimpin yang hanya tahu bercakap semata-mata.

“Saya tidak mahu bercakap mengapa insiden kemiskinan di Sabah terlalu tinggi tanpa melakukan apa-apa, saya juga mohon rakan pemimpin di Sabah kalau bercakap mengenai kemiskinan di Sabah mari kita sama-sama jadikan diri kita penyelesaian.

“Tidak payahlah kita tuding jari siapa atau apa yang menyebabkan kemiskinan dan sebagainya, kita rangkul kekuatan yang kita ada, kemudian kita sama-sama selesaikan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, semua agensi di bawah Kuskop akan diletak di bawah satu sinergi dan gerak kerja bagi memastikan usaha serta inisiatif dalam Ihsan Kuskop berjalan lancar serta memberi kesan mendalam bagi menoktahkan kemiskinan di Sabah.-BERNAMA